PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjenamakan semula dan mentransformasi Malaysia Green Attribute Trading System (mGATS) sebagai platform digital inovatif untuk menjadi pasaran digital terulung negara bagi Sijil Tenaga Boleh Baharu Malaysia (mREC).
mGATS pada mulanya diperkenalkan sebagai hub maklumat untuk sijil tenaga boleh baharu empat tahun lalu, kini mengalami perubahan ketara dalam fungsinya, beralih kepada pasaran digital dinamik untuk REC.
TNB berkata, mGATS yang dijenamakan semula dijadualkan untuk dilancarkan pada suku pertama 2024.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mGATS penting sebagai platform perdagangan digital perintis yang bertujuan untuk memperkukuh program Tarif Elektrik Hijau (GET) Malaysia yang sedia ada.
“Program perdagangan baharu ini memperkasakan pengguna dan syarikat yang mementingkan alam sekitar dengan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mengimbangi jejak karbon mereka daripada penggunaan elektrik,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merasmikan pelancaran penjenamaan semula itu di Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peningkatan pengeluaran tenaga boleh baharu dalam sektor tenaga sejajar dengan peningkatan permintaan untuk elektrik hijau.
Katanya, ini terutamanya daripada syarikat dan organisasi multinasional, termasuk penyertaan daripada ahli korporat global RE100 yang komited kepada 100 peratus tenaga boleh baharui.
“Akan datang, NRECC dengan kerjasama TNBX Sdn. Bhd. (anak syarikat milik penuh TNB), akan menaik taraf mGATS sedia ada kepada platform perdagangan REC sepenuhnya, yang membolehkan pertukaran komersial REC dijalankan di Malaysia.
Ini akan memberikan pilihan yang lebih besar kepada perniagaan dalam memenuhi komitmen ESG masing-masing,” ujarnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, pelancaran mGATS yang dijenamakan semula menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia ke arah masa depan tenaga yang lebih hijau dan mampan.
Jelasnya, inisiatif ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan 70 peratus bekalan tenaga primer Malaysia datang daripada tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050.
“mGATS yang dinaik taraf akan memberikan manfaat besar kepada pelanggan perniagaan, menawarkan cara yang telus dan mesra pengguna untuk mendapatkan tenaga elektrik hijau, terutamanya bagi mereka yang menyasarkan matlamat penggunaan tenaga boleh baharu sebanyak 100 peratus.
“Apabila platform mGATS yang baharu beroperasi pada suku pertama 2024, entiti komersial dan perindustrian yang berminat untuk mendapatkan mREC bagi elektrik hijau secara tidak langsung boleh mengambil bahagian dalam platform pembidaan,” tambahnya. – UTUSAN









