KDNK S4 diunjur lebih tinggi 4.2%

KDNK S4 diunjur lebih tinggi 4.2%

MALAYSIA jatuh tujuh tangga dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar Ekonomi menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat 2023 terus mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik, pada kadar 4 hingga 4.2 peratus didorong oleh momentum positif ekonomi domestik yang berterusan.

Ia susulan kejayaan negara merekodkan pertumbuhan meyakinkan pada suku ketiga sebanyak 3.3 peratus daripada 2.9 peratus suku kedua 2023.

Pakar ekonomi berpendapat, pertumbuhan pada suku ketiga yang dipacu oleh ekonomi domestik, akan dibawa ke suku keempat dan seterusnya.

Menurut Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, sektor swasta juga terus melabur dalam ekonomi domestik sebagaimana ditunjukkan dalam perbelanjaan penggunaan akhir swasta sebanyak 4.6 peratus dan pembentukan modal tetap kasar 5.1 peratus pada suku ketiga.

Kata beliau, momentum positif ekonomi domestik yang berterusan disokong oleh pihak kerajaan, swasta dan rakyat, di sebalik cabaran ekonomi global yang turut mempengaruhi nilai ringgit.

Katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar fiskal dengan suntikan bantuan tunai kepada rakyat dan perniagaan seperti i-Tekad, bagi memastikan momentum pertumbuhan dapat diteruskan.

“KDNK suku ketiga lebih baik daripada suku kedua kerana didorong oleh ekonomi domestik yang lebih dinamik dan berdaya tahan. Pihak kerajaan dan swasta memahami sokongan yang perlu diberikan kepada ekonomi domestik pada suku ketiga sekiranya mahu mencapai sasaran KDNK keseluruhan tahun 2023 antara 4 hingga 5 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau diminta mengulas jangkaan KDNK S4 dan keseluruhan 2023 selepas negara mencatatkan pertumbuhan KDNK S3 sebanyak 3.3 peratus, lebih tinggi berbanding 2.9 peratus pada suku sebelumnya.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim pula berpendapat, pertumbuhan KDNK negara bagi suku keempat akan meneruskan momentum pertumbuhan tetapi pada kadar yang perlahan dan sederhana iaitu sekitar 3.9 hingga 4.2 peratus sahaja.

Beliau berkata, pertumbuhan akan didorong oleh kekuatan ekonomi domestik yang masih lagi mampan dengan sokongan polisi dan dasar kerajaan yang terus memberi sokongan kepada pasaran ekonomi tempatan khususnya sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Jelasnya,sektor perkhidmatan juga dijangka terus menjadi peneraju kepada pertumbuhan KDNK S4 dan tahun ini.

“Selain itu, kadar pengangguran yang menunjukkan tren penurunan, manakala bilangan penduduk yang bekerja menunjukkan tren yang semakin meningkat turut menyumbang kepada pertumbuhan pada suku keempat tahun ini,” katanya.

Mohd. Faisol dalam pada itu berkata, kelemahan ringgit boleh mempengaruhi pertumbuhan suku keempat kerana dibimbangi menyebabkan bahan binaan akan menjadi mahal namun kuasa beli semakin merosot, menyebabkan permintaan rumah akan terjejas dan dikhuatiri akan berlaku lebihan penawaran rumah di sesetengah tempat dan negeri.

“Kerajaan perlu melihat perkara ini secara holistik supaya nilai ringgit dapat dipulihkan secepat mungkin walau apa cara sekalipun,” katanya.

Dalam pada itu, firma penyelidikan TA Securities Research mengekalkan unjuran pertumbuhan 4.6 peratus untuk suku keempat, dan menjangka ekonomi berkembang lebuh teguh sebanyak 5.0 peratus pada 2024.

Firma penyelidikan itu berkata, prospek didorong oleh jangkaan pemulihan ekonomi global yang mampan, khususnya di China, yang bersedia untuk memacu permintaan luar yang meningkat.

“Namun begitu, kami tetap berwaspada dan terbuka kepada pelarasan, yang akan dibuat secara berkala, terutamanya sebagai tindak balas kepada sebarang halangan ketara dalam trajektori ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×