PETALING JAYA: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mendapat manfaat daripada kelemahan berterusan mata wang berkenaan.
Pada pukul 9.04 pagi, ringgit diniagakan pada 4.6445/6500 berbanding dolar AS berbanding 4.6655/6705 pada penutup semalam, memetik laporan Bernama.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid dipetik berkata, ringgit kekal disokong baik apabila Indeks Dolar AS (DXY) jatuh 0.43 peratus kepada 103.472 mata.
Beliau berkata, lelongan untuk tiga bulan Perbendaharaan AS mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak 5.27 peratus manakala untuk enam bulan mencatatkan hasil sebanyak 5.23 peratus. Ia menunjukkan bahawa pasaran bon secara beransur-ansur menetapkan harga dalam kemungkinan pendirian monetari oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Oleh itu, mata wang tempatan dijangka didagangkan lebih hampir kepada paras sokongan segera pada RM4.6611 berbanding dolar AS,” katanya.
Pada pukul 9.21 pagi, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia lebih tinggi berbanding euro pada 5.0843/0904 daripada 5.0999/1053 semalam, meningkat berbanding pound sterling kepada 5.8107/8176 daripada 5.8314/8377 dan bertambah baik berbanding yen Jepun kepada 3.1380/1409 daripada 3.1456/1491.
Mata wang tempatan juga dibuka lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN lain.
Ringgit menambah nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 300.6/301.2 daripada 302.0/302.5 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4733/4777 daripada 3.4817/4857.
Ringgit turut mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.2450/2679 daripada 13.2784/2987 dan hampir mendatar berbanding peso Filipina pada 8.39/8.41 daripada 8.40/8.41. – UTUSAN









