Perdagangan Malaysia lepasi RM2 trilion

Perdagangan Malaysia lepasi RM2 trilion

PAKAR mencadangkan Malaysia menggunakan mata wang domestik dengan rakan dagangan berbanding dolar untuk mengatasi kejatuhan nilai ringgit. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia dalam tempoh 10 bulan tahun ini melepasi RM2 trilion mencecah nilai RM2.181 trilion, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI berkata, negara mencatatkan eksport berjumlah RM1.186 trilion, manakala import bernilai RM995.55 bilion, bagi tempoh berkenaan.

“Perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Lebihan dagangan berkurang 7.9 peratus kepada RM190.04 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, berdasarkan pertandingan bulan ke bulan, perdagangan Malaysia pada Oktober 2023, berkembang 6.8 peratus kepada RM239.52 bilion dengan eksport meningkat 1.5 peratus kepada RM126.19 bilion dan import pula tumbuh dua digit sebanyak 13.4 peratus kepada RM113.33 bilion.

Katanya, lebihan dagangan pada Oktober mencecah RM12.87 bilion, merupakan lebihan dagangan yang ke-42 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Kementerian itu menambah, perdagangan Malaysia menyusut pada kadar yang lebih perlahan iaitu 2.4 peratus tahun ke tahun, berbanding penurunan dua digit yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Eksport menurun 4.4 peratus dan import berkurang secara marginal sebanyak 0.2 peratus. Prestasi ini seiring dengan rakan dagang utama Malaysia yang lain seperti China, Taiwan dan Indonesia di mana masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada Oktober 2023 serta pengurangan dalam import global,” jelasnya.

Menurut MITI, eksport barangan perkilangan yang mewakili 85.3 peratus atau RM107.59 bilion daripada jumlah eksport, menurun 3.5 peratus tahun ke tahun berikutan penyusutan eksport bagi keluaran petroleum serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).

Walau bagaimanapun, eksport kelengkapan pengangkutan, barang makanan diproses, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, barangan kertas dan palpa serta barangan kayu mencatatkan pertumbuhan.

“Eksport keluaran pertanian (7.1 peratus syer) meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada RM8.90 bilion berbanding Oktober 2022, merekodkan pertumbuhan positif buat pertama kali selepas penurunan dua belas bulan berturut-turut. Eksport hasil galian (6.9 peratus syer) berkurang 21.9 peratus tahun ke tahun kepada RM8.75 bilion kesan penurunan eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah,” katanya.

MITI memberitahu, barangan eksport utama pada Oktober 2023 ialah barangan E&E bernilai RM49.23 bilion (39 peratus daripada jumlah eksport), keluaran petroleum (RM13.85 bilion: 11 peratus); minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (RM6.56 bilion: 5.2 peratus); kimia dan bahan kimia (RM6.47 bilion: 5.1 peratus) dan jentera, kelengkapan dan peralatan (RM5.16 bilion: 4.1 peratus).

Berbanding September 2023, eksport keluaran pertanian dan hasil galian masing-masing meningkat sebanyak 10.7 peratus dan 10.4 peratus manakala eksport barangan perkilangan mencatatkan penurunan marginal.

Tambah MITI, bagi Januari hingga Oktober 2023, eksport barangan perkilangan menyusut 6.3 peratus kepada RM1.016 trillion berbanding tempoh yang sama tahun 2022 berikutan pengurangan eksport keluaran petroleum, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit dan keluaran getah.

“Walau bagaimanapun, eksport barangan makanan diproses, barangan kertas dan palpa serta kelengkapan pengangkutan merekodkan pertumbuhan ketara.  Eksport hasil galian menguncup 12.8 peratus kepada RM84.92 bilion disebabkan penurunan eksport LNG dan petroleum mentah kesan kejatuhan harga komoditi tersebut.

“Eksport keluaran pertanian berkurang 23.0 peratus kepada RM77.74 bilion disebabkan eksport yang lebih rendah bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan penyusutan harga eksport minyak sawit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×