SYDNEY: Saham Jepun mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga dekad sejak 1990 hari ini, apabila pendapatan yang kukuh dan permintaan luar pesisir mendorong kenaikan berturut-turut. Sementara itu, yuan China didagangkan lebih tinggi susulan campur tangan bank pusat negara itu.
Menurut laporan Reuters, Nikkei Jepun kembali stabil selepas mencapai kemuncak pada September, dan meningkat 8.8 peratus dengan Topix (penanda aras indeks Tokyo) tidak jauh di belakang.
Saham kewangan mendahului keuntungan pada pagi ini apabila pelabur bersedia untuk menamatkan kadar negatif, sementara pembuat kereta telah mendapat manfaat daripada yen yang lemah dan eksport yang tinggi sebelum ini.
Indeks MSCI bagi saham Asia-Pasifik di luar Jepun naik 0.1 peratus, setelah meningkat 2.8 peratus minggu lepas ke paras tertinggi dua bulan.
“Jualan Black Friday akan menguji nadi ekonomi AS yang dipacu pengguna minggu ini, manakala cuti Hari Kesyukuran akan membuat pasaran `tipis’,” jelas laporan itu.
Saham mewah China susut 0.2 peratus apabila bank pusat negara itu mengekalkan kadar stabil seperti yang dijangkakan, tetapi melaksanakan penetapan kukuh untuk yuan menyaksikan dolar jatuh di bawah 7.2000 kepada paras terendah dalam tiga bulan.
Niaga hadapan EUROSTOXX 50 menambah 0.1 peratus, manakala niaga hadapan FTSE pada kedudukan yang lebih kukuh.
Niaga hadapan S&P 500 pula susut 0.1 peratus dan niaga hadapan Nasdaq turun 0.2 peratus. S&P kini meningkat hampir 18 peratus untuk tahun ini dan kurang 2 peratus daripada prestasi kemuncak pada Julai.
Penganalisis di Goldman Sachs berkata, saham mega “Magnificent 7” telah kembali mencapai 73 peratus untuk 2023 setakat ini, berbanding hanya 6 peratus untuk baki 493 firma.
“Kami menjangkakan saham permodalan mega teknologi akan terus berprestasi tinggi memandangkan pertumbuhan jualan yang unggul, margin, nisbah pelaburan semula dan kekuatan kunci kira-kira. Tetapi profail risiko atau ganjaran tidak begitu menarik memandangkan jangkaan yang tinggi,” katanya dalam nota kajian.
Saham teknologi utama, Nvidia, dijangka melaporkan keputusan kewangan suku tahunan pada Selasa, dan tumpuan terarah kepada permintaan untuk produk berkaitan AI syarikat tersebut.
Aliran data ekonomi AS bertukar rendah pada minggu ini, namun mesyuarat terakhir Rizab Persekutuan (Fed) akan memberi sedikit `gambaran’ kepada pembuat dasar selepas mereka mengekalkan kadar stabil untuk kali kedua. – AGENSI










