Bursa Malaysia terus tunjuk aliran dagangan rendah

Bursa Malaysia: Suasana pasaran negatif, kaunter rugi atasi untung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia terus menunjukkan aliran rendah pada awal dagangan hari ini, disebabkan kekurangan pemangkin dan selepas prestasi bercampur-campur Wall Street pada Jumaat, kata pedagang.

Pada pukul 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.63 mata kepada 1,457.04 daripada 1,460.67 penutup Jumaat. Indeks dibuka 0.41 mata lebih rendah pada 1,460.26, memetik laporan Bernama.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 175 berbanding 167, manakala 273 kaunter tidak berubah, 1,759 tidak diniagakan dan sembilan lagi digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 196.88 juta unit bernilai RM77.21 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, Wall Street hampir tidak berakhir dalam wilayah positif Jumaat lepas apabila pelabur mula mencerna kenaikan baru-baru ini.

Malah katanya, kenyataan bercampur-campur daripada pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS mengenai prospek inflasi di negara berkenaan memberikan sokongan dan membantu mengimbangi pasaran.

“Di peringkat tempatan, Bursa Malaysia dijangka terus menunjukkan aliran rendah berasaskan jualan yang luas. Indeks mungkin berlegar antara julat 1,455 hingga 1,465 hari ini terutamanya disebabkan kekurangan pemangkin positif,” katanya.

Di kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.10; manakala Public Bank juga susut dua sen kepada RM4.21. CIMB pula susut tujuh sen kepada RM5.73 dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.22. Tenaga Nasional pula turun satu sen kepada RM9.95.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 18.30 mata kepada 10,781.68, Indeks FBMT 100 susut 19.62 mata kepada 10,442.88 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 0.41 mata kepada 11,004.33.

Indeks FBM ACE pula turun 17.12 mata kepada 5,154.82, manakala Indeks FBM 70 naik 0.92 mata kepada 14,303.00.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 63.39 mata kepada 16,319.25, Indeks Tenaga susut 1.28 mata kepada 851.22 dan Indeks Perladangan turun 1.61 mata kepada 7,005.13. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula tidak berubah pada 173.91 mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×