KUALA LUMPUR: Nilai semasa ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tidak mencerminkan asas ekonomi Malaysia sekaligus dijangka tidak menjejaskan prospek pertumbuhan negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.
Beliau berkata, pergerakan turun naik mata wang negara itu disebabkan pelbagai faktor.
“Bagaimanapun, bagi tempoh jangka panjang, kami percaya ringgit akan memberikan impak (positif),” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Ketiga (3Q 2023) di sini, semalam.
Menurutnya,
“Tren ini turut diperhatikan dalam kalangan mata wang serantau lain, disebabkan terutamanya oleh faktor luaran termasuk laluan dasar monetari AS,” katanya.
Setakat ini, ringgit telah menyusut kira-kira 6 peratus berbanding dolar AS, manakala ia melemah 5.5 peratus berbanding dolar Singapura.
Shaikh Abdul Rasheed dalam pada itu menegaskan, ekonomi negara hari ini berdaya tahan terutamanya dari segi asas ekonomi, keteguhan sektor kewangan dan kedalaman pasaran kewangan.
Menurut beliau, ketidaktentuan pasaran kewangan global dijangka berkurangan kecuali berlaku perkembangan buruk baharu seperti meningkatnya ketegangan geopolitik, memandangkan pasaran kewangan menjangkakan kadar dasar AS akan dikurangkan tahun depan.
“Ini sepatutnya mengurangkan kekuatan dolar AS sekaligus mengurangkan tekanan susut nilai ke atas ringgit,” katanya.
Mengenai inflasi, beliau berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal berkurang bagi tempoh seterusnya pada tahun 2023.
“Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan dan inflasi teras menurun sepanjang tahun 2023, disebabkan terutamanya oleh keadaan kos yang lebih rendah.
“Keadaan ini dijangka berterusan untuk tempoh seterusnya pada tahun 2023. Secara menyeluruh, inflasi keseluruhan dijangka antara 2.5 3 peratus pada tahun 2023.
Jelasnya, pada masa hadapan, risiko terhadap prospek inflasi kekal sangat bergantung pada perubahan dasar dalam negara mengenai subsidi dan kawalan harga, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan. – UTUSAN










