MANILA: Bank Pusat Filipina, Bangko Sentral ng PIlipinas (BSP) hari ini mengekalkan kadar faedah pada 6.5 peratus dengan berkata, tinjauan inflasi di negara itu telah menyederhana.
Seramai 16 daripada 23 ahli ekonomi yang ditinjau oleh Reuters menjangkakan Bangko Sentral ng PIlipinas (BSP) akan mengekalkan kadar faedah penanda arasnya, manakala selebihnya meramalkan kenaikan sebanyak 25 mata asas.
“Mengekalkan kadar dasar yang stabil akan membolehkan pelarasan kadar sebelum ini terus berjalan (menyokong) ekonomi,” kata bank pusat itu dalam taklimat akhbar.
Keputusan itu menyaksikan Bank Pusat Filipina mengekalkan kadar faedah selepas kenaikan 25 mata asas di luar kitaran, pada 26 Oktober lalu.
Menjelang keputusan itu, Gabenor BSP, Eli Remolona memberitahu taklimat ekonomi di San Francisco, inflasi boleh mereda kembali ke julat sasaran antara 2 hingga 4 peatus tahun depan tetapi negara itu “belum keluar dari kitaran.”
Inflasi tahunan merosot buat kali pertama dalam tiga bulan pada Oktober kepada 4.9 peratus daripada 6.1 peratus pada bulan sebelumnya. Bagaimanapun, BSP berkata, risiko terhadap prospek inflasi lebih condong menaik.
Mesyuarat BSP seterusnya dijadualkan pada 14 Disember, yang terakhir untuk tahun ini. – AGENSI










