Saham-saham Asia jatuh

Saham-saham Asia jatuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Saham-saham Asia jatuh pada dagangan hari ini, menghentikan kenaikan besar yang dibuat minggu ini, didorong oleh data perindustrian baharu China yang menunjukkan kelemahan berpanjangan dalam sektor hartanah.

Perkembangan tersebut menjejaskan keyakinan pasaran baru-baru ini tentang pemulihan dalam ekonomi negara kedua terbesar dunia itu, lapor Reuters.

Walaupun data yang dikeluarkan minggu ini menunjukkan sektor perindustrian dan runcit China kembali pulih, kejatuhan mendadak dalam pelaburan hartanah dan harga rumah yang lemah boleh mencetuskan masalah berterusan dalam sektor yang boleh mengheret pemulihan keseluruhan negara.

Sementara itu, eksport Jepun meningkat untuk bulan kedua berturut-turut pada Oktober tetapi pada kadar yang lebih perlahan berikutan kemerosotan penghantaran cip dan keluli ke China.

“Data ekonomi yang lemah daripada kedua-dua negara menunjukkan hakikat bahawa ekonomi global semakin perlahan, menonjolkan halangan makro berterusan yang dihadapi oleh perniagaan,” kata Tina Teng, penganalisis pasaran di CMC Markets.

Beliau berkata, krisis perumahan China kekal sebagai isu utama bagi ekonomi dan permintaan pengguna global yang lemah berkemungkinan akan terus menekan sentimen.

Sementara itu, pasaran Eropah dibuka lebih rendah, dengan niaga hadapan Euro Stoxx 50 turun 0.21 peratus, niaga hadapan DAX Jerman jatuh 0.11 peratus dan niaga hadapan FTSE turun 0.11 peratus.

Di Asia, indeks MSCI bagi saham Asia-Pasifik di luar Jepun turun 0.4 peratus pada dagangan petang walaupun indeks itu meningkat 7.1 peratus setakat bulan ini.

Saham Australia turun 0.67 peratus kerana data gaji yang kukuh menunjukkan bahawa tekanan inflasi masih tinggi. Indeks saham Nikkei Jepun susut 0.18 peratus apabila pelabur menjual saham untuk mendapat untung daripada keuntungan mendadak sesi sebelumnya.

Di China, saham jatuh pada hari ini kerana pelabur kecewa dengan mesyuarat peringkat tertinggi Sino-AS, dengan indeks saham mewah Shanghai CSI300 turun 0.72 peratus dan indeks Hang Seng Hong Kong turun 1 peatus.

Walaupun Presiden AS Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping telah bersetuju untuk menyambung semula komunikasi ketenteraan dan bekerjasama dalam dasar anti-dadah iaitu petanda hubungan semakin baik, namun sesetengah pelabur kecewa kerana kurang kejayaan besar dalam rundingan berkenaan.

Semalam, saham AS ditutup lebih tinggi sedikit, kerana data inflasi mengukuhkan harapan pelabur Rizab Persekutuan (Fed) telah selesai menaikkan kadar faedah.

Purata Perindustrian Dow Jones meningkat 0.47 peratus, S&P 500 menokok 0.16 peratus dan Nasdaq Composite mengecilkan keuntungan awal untuk berakhir mendatar.

Pedagang pasaran wang telah menetapkan harga sepenuhnya dalam kemungkinan bank pusat AS akan mengekalkan kadar stabil pada Disember.

Bagi mata wang, euro meningkat 0.1 peratus berbanding dolar pada AS$1.0837, setelah meningkat 2.47 peratus dalam tempoh sebulan, manakala indeks dolar, yang mengukur mata wang itu berbanding sekumpulan mata wang rakan dagangan utama yang lain, meningkat pada 104.48 mata.

Minyak mentah WTI pula susut 0.9 peratus kepada AS$75.97 setong, manakala minyak mentah Brent jatuh kepada AS$80.44 setong. Emas didagangkan sedikit lebih tinggi pada AS$1963.29 satu auns. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×