SHAH ALAM: Selain di Batu 14, Bukit Kapar, kerajaan negeri mengenalpasti tempat-tempat lain yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram sehingga mencetuskan kemarahan penduduk dan pencemaran.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim berkata, pemilik tanah termasuklah individu serta syarikat milik atau berkaitan kerajaan (GLC) perlu bertanggungjawab ke atas tanah mereka untuk mengelakkan daripada berdepan sebarang tindakan.
“GLC kena pantau tanah-tanah mereka, kalau kita punya tanah dan dijadikan tapak pelupusan sampah, walaupun kita tak tahu tetapi kena sentiasa peka sebab sukar untuk kita bendung, mereka memang tahu punca kuasa dan bidang kuasa.
“Mereka tahu ada kelompongan untuk pihak berkuasa bertindak. Kos sepatutnya dibiayai sendiri oleh pemilik tanah, tetapi kadang-kadang PBT kena keluarkan, untuk bendung elak kebakaran, pencemaran dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, beliau menyedari terdapat kelompongan dalam penguatkuasaan termasuklah undang-undang yang perlu dipinda untuk memastikan hukuman lebih setimpal dikenakan kepada pelaku.
Akhbar ini pada 8 November lalu melaporkan penduduk di empat buah kampung di Batu 14, Jalan Kapar dan kawasan sekitarnya di sini mahu mengambil tindakan saman terhadap sebuah GLC kerana membiarkan tanah miliknya menjadi tapak pelupusan sampah haram.
Mereka mendakwa, selain menjadi tapak pelupusan sisa industri haram, keadaan di situ diburukkan lagi dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membakar sisa itu untuk memudahkan kerja mencari bahan buangan yang boleh dijual semula.
Akibat daripada tindakan tersebut, lebih 300,000 penduduk berdepan risiko kesihatan yang serius kerana pembakaran berkenaan menyebabkan pelepasan gas kimia berbahaya dan jerebu teruk di pekan kapar dan lapan buah penempatan berhampirannya.
Mengulas perkara tersebut, Suee Lim memberitahu, beliau tiada halangan kepada penduduk yang mahu mengambil tindakan undang-undang kepada GLC berkenaan, namun menegaskan tanah tersebut boleh disita dan dirampas jika mereka berterusan membiarkannya.
“Memang itu kawasan persendirian tetapi kalau sampah haram, pukal dan sebagainya yang dibuang di situ, ia boleh diambil tindakan juga seperti sita walaupun tanah persendirian dan ia boleh dirampas melalui pejabat tanah.
“Jadi, perkara ini saya akan maklumkan kepada Majlis Perbandaran Klang, kalau ada perincian saya akan minta mereka laksanakan penguatkuasaan yang tegas dan juga pejabat tanah supaya aduan penduduk ini dapat diselesaikan satu persatu,” jelasnya. – UTUSAN










