RAUB: Seorang peniaga dari Kampung Batu Malim dekat sini, memilih buah nadir di hutan iaitu buah taban untuk dijual selepas durian, rambutan dan buah-buahan tempatan lain berkurangan apabila tiba di hujung musim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yahaya Hamid berkata, berikutan buah-buahan tempatan semakin berkurangan, dia mengalih perhatian menjual buah taban untuk memperoleh pendapatan menyara keluarga.
“Seperti sebelum ini, saya mula menjual buah taban kerana buah hutan ini juga digemari ramai.
“Kebiasaannya, pokok taban ini mula berbuah selepas buah-buahan lain habis dipetik atau gugur dan menandakan berakhirnya musim buah tempatan khususnya yang ditanam di dusun,” katanya di Kampung Batu Malim dekat sini, semalam.
Menurut Yahaya, memandangkan buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan, duku, langsat dan sebagainya mula tiada di pasaran, dia lebih awal menempah buah taban dengan penduduk Orang Asli Pos Sinderut, Ulu Jelai, Lipis iaitu antara pembekal buah tersebut setiap kali menjelang hujung tahun.
Katanya, Orang Asli memperoleh buah taban yang banyak didapati di Hutan Ulu Jelai yang saban tahun menghantar bekalan itu untuk dijual.
“Mereka (Orang Asli) masuk ke hutan berhari-hari lamanya untuk mencari buah taban kerana sukar diperoleh berdekatan kampung malah kadangkala pokoknya jarang berbuah.
“Buah taban antara buah hutan yang semakin pupus mempunyai nilai komersial yang tinggi dan enak dimakan,” katanya.
Dia yang juga penjual petai dan duku menjual buah hutan itu pada harga RM8 sekilogram dan setiap hari buah itu laris sehingga kadangkala 50 kilogram terjual di pekan sehari di kampung tersebut.
Katanya, ramai generasi muda hari ini agak asing pengetahuan mereka mengenai buah taban malah ada yang tidak pernah melihat langsung dan sesetengahnya menyamakannya dengan buah tampoi.
“Sekiranya dilihat sekilas lalu, taban seakan-akan buah tampoi. Sebenarnya kedua-dua buah ini mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakan biologinya,” katanya.
Menurutnya, perbezaannya buah taban, iaitu tumbuh di bahagian batang pokok, manakala tampoi berbuah di bahagian dahan.
Katanya, walaupun warna dan rasa seakan-akan sama, tetapi bentuk buah taban lebih bulat berbanding buah tampoi yang sedikit tirus di bahagian bawah.
Menurutnya, isi buahnya seakan-akan bentuk buah manggis, rasanya manis dan sedikit masam serta amat sesuai dimakan ketika bersantai bersama keluarga dan tetamu. – UTUSAN











