SINGAPURA: Saham Sea Ltd. menjunam selepas melaporkan kerugian mengejut pada suku ketiga, disebabkan persaingan yang semakin sengit daripada Alibaba Group Holding Ltd dan ByteDance Ltd.
Saham Syarikat itu jatuh 22 peratus dalam dagangan di bursa New York semalam, `menghapuskan’ kira-kira AS$6 bilion (RM28 bilion) nilai pasaran Syarikat selepas ia mencatatkan kerugian bersih AS$149 juta (RM702.29 juta), berbanding keuntungan AS$322 juta (RM1.52 bilion) suku sebelumnya, memetik laporan Bloomberg.
Menurut laporan itu, penganalisis menganggarkan Syarikat e-dagang dan permainan Singapura itu bakal melaporkan keuntungan kira-kira AS$100 juta (RM471.33 juta).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Forrest Li memberitahu pelabur, beliau percaya Syarikat perlu melabur banyak sekarang untuk membina skala cabang runcit dalam talian Shopee, di tengah-tengah persaingan daripada TikTok oleh ByteDance, Lazada oleh Alibaba dan Temu oleh PDD Holdings Inc.
“Mengorbankan keuntungan jangka pendek akan membantu perniagaan pada masa depan. Kedatangan pemain baharu telah meningkatkan persaingan dalam pasaran kami,” kata Li, tanpa menamakan peserta terbabit.
Justeru kata beliau, melabur dalam bahagian pasaran sekali lagi sekarang akan meletakkan Syarikat pada kedudukan lebih baik.
Sea telah mengatasi unjuran penganalisis untuk pertumbuhan hasil. Jualan meningkat 4.9 peratus pada suku tersebut kepada AS$3.3 bilion (RM15.55 bilion), berbanding anggaran purata AS$3.2 bilion (RM15.08 bilion).
Baru-baru ini, pasaran Sea yang paling kukuh termasuk Indonesia dilihat `terkepung’ oleh TikTok dan perkhidmatan beli-belah berorientasikan video baharu, yang semakin aktif menggunakan pempengaruh popular untuk menjual pelbagai barangan dalam talian.
Bagaimanapun, Indonesia pada September lalu telah memaksa TikTok untuk menutup perkhidmatan beli-belahnya, bagi melindungi peniaga kecil tempatan.
Pelabur mencari petunjuk sama ada tindakan itu akan memberi kelebihan kepada Sea. Sebelum Indonesia, pasaran membimbang syarikat Singapura itu yang melaporkan kerugian lebih sedekad selepas penubuhannya pada 2009, akan tenggelam semula.
Memburukkan lagi keadaan ialah jangkaan bahawa ekonomi internet Asia Tenggara akan mencatatkan pertumbuhan paling perlahan dalam rekod tahun ini, hasil daripada kemelesetan ekonomi dengan hasil yang tidak menentu.
“Memandangkan persaingan kekal sengit dan dinamik, kami memberi amaran bahawa jika corak perbelanjaan agresif berterusan lebih lama, ia boleh menjejaskan keuntungan Shopee,” kata penganalisis Citigroup Inc, Alicia Yap dalam nota penyelidikannya.
Ogos lalu, Li dilaporkan berkata, beliau berhasrat untuk meningkatkan pelaburan dalam Shopee bagi melonjakkan pertumbuhan.
Beliau juga dilaporkan sedang meningkatkan usaha untuk membina cabang penstriman langsung Sea, antara langkah ofensif yang boleh menghakis margin dna mencetuskan eprang harga dengan TikTok dan Alibaba.
Selain Alibaba dan ByteDance, saingan tempatan seperti GoTo Group juga meningkatkan tekanan ke atas Sea. GoTo, milik syarikat e-dagang Indonesia Tokopedia, juga merekodkan hasil hampir dua kali ganda pada sukuan Jun lalu. – AGENSI










