PETALING JAYA: realme, jenama telefon pintar yang paling pesat berkembang di dunia, mengekalkan kedudukan lima teratas dalam pasaran Malaysia untuk suku ketiga berturut-turut.
Menurut laporan Q3 2023 Canalys, pada suku ketiga 2023, jenama telefon pintar itu mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 211 peratus untuk penghantaran jualan masuk.
realme satu-satunya jenama telefon pintar dalam senarai lima teratas dengan pertumbuhan tahunan positif untuk tiga suku berturut-turut. Ia mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 22 peratus dan 18 peratus pada suku pertama dan kedua 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif realme Malaysia, Marcus Lin berkata, Syarikat bersyukur kerana merangkul gelaran lima jenama telefon pintar terbaik di Malaysia.
“Meskipun permulaan kami pada lima tahun yang lalu agak sederhana, kami berjaya mengharungi cabaran dalam pasaran yang kompetitif ini dan menguatkan kedudukan kami sebagai lima jenama teratas.
“Prestasi cemerlang adalah bukti kepercayaan kami bahawa inovasi dan bukan kekananan, adalah kunci untuk mengubah dunia.
“Sebagai jenama dengan purata umur pekerja 27 tahun, kami komited untuk mengekalkan ikatan rapat dengan belia Malaysia dan menjadi jenama telefon pintar pilihan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, berpandukan prinsip “No Leap No Launch”, realme menyasarkan untuk terus memperkenalkan teknologi berinovasi dan produk unik yang memenuhi keperluan pengguna dan menawarkan mereka pengalaman mudah alih yang tiada tandingan.
“Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) juga kekal sebagai tumpuan penting realme dengan peningkatan sebanyak 58 peratus pelaburannya dalam R&D tahun ke tahun, untuk menjadikan inovasi teknologi penting lebih mudah diakses,” katanya.
Jenama itu dijadualkan melancarkan telefon pintar siri GT di pasaran Malaysia menjelang akhir 2023. – UTUSAN










