PETALING JAYA: Pas beralasan tidak mempertahan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad atas dakwaan Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin komunis, Chin Peng kerana tidak mempunyai masa cukup sebelum Pengerusi DAP itu mengambil tindakan undang-undang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dengan tempoh dua hari yang dianggap terlalu singkat bagi Pas mendapatkan keterangan dari Siti Mastura, maka, parti tidak mempunyai banyak pilihan selain membiarkan perkara itu untuk sementara waktu.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga enggan mengulas berhubung kenyataan Siti Mastura yang mengaitkan Guan Eng dan Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Perkara ini sudah pun sampai ke peringkat perundangan. Oleh itu, pihak di luar sana mengapa sibuk pertikai soal pertahan atau tidak ini? Ramai sahaja pemimpin dari parti politik kerajaan pun tidak menyokong kerajaan.
“Kami bukannya tidak mempertahankan wakil rakyat kami tetapi sejak mula sidang akhbar Guan Eng, masa yang diberi tidak panjang. Sedangkan kami kena dapatkan bukti rakaman untuk tahu isu sebenar yang berlaku.
“Apa rasionalnya DAP beri masa 48 jam sahaja? Bayangkanlah bagaimana kami cuba pertahankan Siti Mastura? Jadi, tidak perlu untuk pertahan atau tidak melainkan perkara ini tidak dibawa ke peringkat undang-undang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 11 November lalu, Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Rahman berkata, Pas tidak sepatutnya membiarkan Siti Mastura kelihatan dungu dengan hanya berdiam diri berhubung dakwaannya Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan Chin Peng.
Katanya, sejak ucapan Siti Mastura mengaitkan Guan Eng dengan Chin Peng tular, tiada pemimpin Pas lain membelanya untuk mempertahan dakwaan tersebut.
Guan Eng baru-baru ini memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas mendakwa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan Chin Peng.
Katanya, tindakan itu berdasarkan ucapan kebencian Siti Mastura di Kemaman, Terengganu pada majlis wanita muda Pas pada 4 November lalu yang diselit dengan pembohongan keterlaluan dan fitnah jahat.
Beliau sebelum ini memberi masa dua hari untuk Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu mengemukakan bukti jika benar beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Chin Peng dan Kuan Yew.
Beliau sebelum itu menunjukan klip video ucapan yang dimuat naik di media sosial menyaksikan Siti Mastura mengaitkan Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng dengan pemimpin DAP lain.
Pemimpin DAP yang disebut itu ialah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim; Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.
Bagaimanapun ketika ditemui pemberita sebelum ini, Siti Mastura nampaknya tidak gentar malah mengelak daripada menjawab soalan yang ditanya pemberita.-UTUSAN











