Harga beras tempatan dicadang RM3.20 sekilogram, gula RM3.80

Harga beras tempatan dicadang RM3.20 sekilogram, gula RM3.80 sekilogram

Mohamad Sabu menunjukkan beras yang dijual sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Ipoh, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan mungkin menaikkan harga beras putih tempatan dan gula tidak lama lagi tetapi bagaimanapun akan me­mastikan langkah itu tidak membebankan rakyat.

Langkah itu diambil ekoran harga beras sudah lama tidak dinaikkan manakala gula pula, pihak industri mengalami kerugian kerana peningkatan harga gula dunia.

Menteri Pertanian dan Ke­terjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan berkaitan cadangan menaikkan harga si­ling beras putih tempatan (BPT) daripada RM2.60 sekilogram kepada RM3.20 sekilogram sedang dijalankan melibatkan empat kementerian.

Katanya, empat kementerian itu ialah KPKM, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Harga sekarang adalah harga sejak tahun 2008, jadi ada pihak mengatakan harga itu perlu dikaji semula.

“Kita akan kaji dahulu, jika berlaku kenaikan, bebanannya bukan kepada satu pihak sahaja. Kita perlu pertimbangkan bebanan yang dihadapi penanam padi, pemborong, pengilang dan pengguna sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Jualan Kombo Madani sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Bulatan Sultan Azlan Shah di Bandar Meru Raya, di sini semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan kenaikan harga BPT perlulah memberi situasi menang-menang kepada semua pihak.

Terdahulu, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini bagi menjaga masa depan semua pihak yang terbabit dalam ran­taian pengeluaran bahan makanan itu, terutama pesawah.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, penetapan harga siling BPT pada RM2.60 tidak disemak sejak 15 tahun lalu walaupun gaji minimum sudah dinaikkan sebanyak dua kali dalam tempoh itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri dan Kos Sara Hidup, Fu­ziah Salleh berkata, pihaknya telah mengadakan bersama pelbagai pihak termasuk pengeluar gula dan peniaga mikro bagi mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu harga gula.

Tanpa memperincikan bu­tiran perbincangan, beliau ber­kata, kerajaan telah melihat si­tuasi dan beban dialami pengeluar gula, namun pada masa sama tidak mahu membebankan peniaga mikro yang merupakan pengguna terbesar barangan keperluan tersebut.

“Jika naikkan harga gula, kita kena lihat kesannya kepada rak­yat. Mungkin bakal berlaku kenaikan harga makanan dan minuman setelah peniaga berdepan kos pertambahan harga gula.

“Namun perbincangan ini dalam peringkat akhir dan satu keputusan menang-menang ba­kal diumumkan dalam masa terdekat. Tengok dahulu langkah penyelesaian ini yang dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Cadangan kenaikan harga gula itu timbul ekoran wujud gesaan supaya kerajaan mengapung atau menaikkan harga si­ling runcit gula daripada RM2.85 sekilogram kepada RM3.80 kerana pengeluar kini terpaksa berdepan kerugian 88 sen setiap kilogram memandangkan terpaksa mengimport gula mentah dari luar negara.

Dua syarikat gula tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Su­gars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) mengalami kerugian sebanyak 88 sen setiap satu kilogram gula dikeluarkan

Mereka pernah memohon untuk menaikkan gula pada 2021 kerana kerugian yang terpaksa ditanggung, namun ditolak kerajaan pada waktu tersebut.

Fuziah berkata, semua pihak juga perlu memahami kesan yang bakal dihadapi rakyat jika berlaku kenaikan harga yang secara tidak langsung menambah kos sara hidup dan kesan inflasi.

“Tetapi kita perlu melihat masalah dihadapi pengeluar gula apabila kos import gula te­lah meningkat setelah India menyekat eksport ke luar negara, jadi mereka perlu bawa masuk dari negara lain seperti Brazil,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×