PETALING JAYA: Tindakan Perikatan Nasional (PN) menolak draf awal undang-undang antilompat parti berhubung elemen mana-mana ahli parlimen yang ingkar arahan parti dan tidak mengikut arahan ketua whip dianggap sebagai keluar parti dan berlaku kekosongan kerusi, dilihat ‘memakan diri’ parti tersebut.
Ini setelah empat wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tetapi tidak dianggap keluar daripada parti itu di bawah undang-undang antilompat parti yang baru diwartakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, draf awal undang-undang itu mempunyai tiga elemen utama iaitu ahli parlimen keluar parti, ahli parlimen dipecat daripada parti dan ahli parlimen Bebas menyertai mana-mana parti.
Bagaimanapun, wakil PN yang menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti menolak elemen ahli parlimen dipecat daripada parti walaupun mendapat sokongan wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Akibat bantahan PN itu, draf awal undang-undang tersebut dipinda. Jadi undang-undang anti lompat parti kini tinggal dua elemen iaitu ahli parlimen keluar parti dan ahli parlimen Bebas menyertai mana-mana parti.
WAKIL RAKYAT
“Buat masa sekarang, mana-mana wakil rakyat yang dipecat kerana ingkar arahan tidak dianggap lompat parti.
“Perkara ini secara tidak langsung mencetuskan loophole (kelompongan) seperti mana berlaku sekarang apabila ada parti tidak dapat mengambil tindakan terhadap ahli parlimen mereka yang tidak mengikut arahan parti,” kata Wan Junaidi.
Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agar undang-undang Anti Lompat Parti dikaji semula kerana berpandangan terdapat kelemahan susulan tindakan empat ahli parlimennya yang menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri namun kekal bersama parti.
Empat pemimpin tersebut ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.
Wan Junaidi berkata, masalah dialami Bersatu kini tidak akan terjadi sekiranya elemen ahli parlimen dipecat parti kerana ingkar arahan diambil kira dalam penggubalan akta itu.
KLAUSA
“Tetapi jika semua parti politik di negara ini mempunyai klausa undang-undang bahawa sekiranya ahli parlimennya tidak mengikut arahan parti kerana menyokong pihak lain maka tergugur status sebagai wakil rakyat, masalah ini tidak berlaku.
“Namun, adakah Bersatu mempunyai undang-undang ini, saya tidak pasti,” katanya.
Beliau berpandangan, kelemahan undang-undang anti lompat parti perlu diperbaiki jika mahu menekankan aspek berkenaan.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menentukan status ahli parlimen didakwa melompat parti sebaliknya beliau hanya menjalankan tugas seperti mana ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau merujuk kenyataan Muhyiddin yang mengatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul terkhilaf dalam memutuskan tiada kekosongan empat bekas ahli Bersatu iaitu Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau) yang bertukar parti pada Januari lalu.- UTUSAN











