Wanita Palestin terpaksa ambil pil lambatkan haid

Wanita Palestin terpaksa ambil pil lambatkan haid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA tempat tinggal, terpaksa duduk berhimpit-himpit di pusat perlindungan sementara, tiada tuala wanita dan tiada air bersih.

Itu merupakan antara senario terpaksa dihadapi golongan wanita Palestin di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu akibat konfik yang berlaku.

Pada mereka, mengalami haid atau datang bulan dalam situasi yang genting amat sukar dan tidak selesa.

Sehubungan itu, kebanyakan golongan wanita di Gaza sanggup mengambil pil melambatkan proses haid.

Menurut pakar sakit puan di sebuah hospital di Khan Younis, Dr. Walid Abu Hatab, pil berkenaan membantu menaikkan hormon progesteron bagi menghentikan dinding rahim menebal, sekali gus melambatkan proses haid.

Pil berkenaan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pendarahan berlebihan, mual, mengubah kitaran haid, perubahan mood dan pening.

Namun, bagi Salma Khaled, mereka tidak mempunyai pilihan dan perlu mengambilnya.

‘HARI PALING SUKAR’
Salma meninggalkan rumahnya di Gaza City sejak lebih tiga minggu lalu dan kini tinggal di rumah saudaranya di tengah Gaza.

Wanita berusia 41 tahun itu memaklumkan dia berdepan ketakutan, ketidakselesaan dan tekanan yang mempengaruhi kitaran haidnya.

“Saya berdepan dengan hari yang paling sukar dalam hidup sepanjang perang ini dan akibatnya, saya mengalami haid luar biasa dengan pendarahan banyak.

“Dengan tuala wanita yang tidak mencukupi, bekalan air bersih terhad dan tiada bahan pencuci membuatkan saya berasa amat tidak selesa.

“Jadi, selepas haid kali ini habis, saya akan makan pil hentikan datang bulan sehingga semuanya kembali reda,” katanya.

 

 

PIL LAGI BANYAK
Salma menceritakan, dengan keadaan getir ketika ini, untuk mendapatkan tuala wanita amat sukar berbanding pil melambatkan haid di farmasi.

“Saya suruh anak perempuan saya pergi beli pil itu di farmasi dan saya gementar untuk menggunakannya kerana tidak pernah jadi begini.

“Saya harap kesihatan saya tidak terjejas akibat pil itu,” ujarnya.

BERDEPAN TEKANAN SERIUS
Menurut sukarelawan sosial dan psikologi yang berpangkalan di Gaza City, Nevin Adnan, golongan wanita di wilayah bergolak itu berdepan dengan tekanan dahsyat akibat konflik yang berlaku.

Mereka mengalami perubahan psikologi dan fizikal sewaktu sebelum dan selepas haid.

“Gejala itu boleh menjadi semakin teruk ketika golongan wanita tertekan.

“Mereka berdepan dengan situasi yang tidak pernah dibayangkan dan sudah tentu perkara itu memberi kesan kepada badan dan emosi mereka,” ujar Nevin.

Jelasnya, jika berlaku ketidakseimbangan hormon dan emosi, wanita boleh mengalami insomnia, berdebar-debar dan tekanan kronik.

“Ketika ini, ramai wanita sanggup mengambil pil melambatkan haid demi menjaga kebersihan,”
jelas Nevin.

TIADA AIR, TUALA WANITA
Samira al-Saadi yang kini menetap di sebuah sekolah di Khan Younis berharap dia mampu lakukan yang terbaik untuk membantu anak gadisnya yang berusia 15 tahun berdepan dengan haid pertama.

“Dia perlukan tuala wanita dan air untuk membersihkan badannya, namun semua itu tiada.

“Saya takut hendak beri dia makan pil itu kerana risau akan menjejaskan kesihatannya.

“Anak saya masih muda dan seharusnya tidak perlu hadapi semua ini,” katanya.

Bagi Ruba Seif pula, kesakitan akibat datang bulan membuatkannya tidak berasa selesa di pusat perlindungan sementara yang sesak.

“Saya tidak tahan dengan rasa perut yang sakit, tidak cukup tidur dan tiada air bersih.

“Hanya wanita yang mengetahui bagaimana perasaan bila datang haid dan tiada air,”
jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×