Ping Pong layak ke Kejohanan Dunia 2024

Ping Pong layak ke Kejohanan Dunia 2024

ATLET ping pong negara bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu majlis sebelum ini. Skuad negara layak ke Kejohanan Dunia Berpasukan di Korea Selatan tahun depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persa­tuan Ping Pong Malaysia (TTAM) mendapat per­khabaran gembira apabila pasukan lelaki dan wanita negara layak beraksi di Kejohanan Dunia Berpasukan di Busan, Korea Selatan pada Februari 2024.

Perkara itu diumumkan Persekutuan Ping Pong Antarabangsa (IT­TF) semalam yang me­nyaksikan Malaysia me­lengkapkan kuota 11 ne­­gara Asia ke kejohanan itu berdasarkan ranking dunia dan kedudukan ketika Kejohanan Berpasukan Asia.

Ironinya skuad berpasukan lelaki menamatkan saingan di tempat ke-11 Kejohanan Ping Pong Berpasukan Asia di Pyeongchang, Korea Selatan September lalu, manakala wanita akur pula berada di tempat 15 untuk kejohanan yang sama.

Bagaimanapun skuad wanita tetap layak kerana ketika ini menghuni tangga ke 28 dunia.

Pengumuman tersebut ternyata mengejutkan ketua jurulatih ping pong negara, Beh Lee Wei yang langsung tidak menyangka mereka akan layak beraksi di kejohanan itu sekali lagi tahun hadapan.

“Sejujurnya saya langsung tidak menyangka kerana prestasi kami tidak begitu baik ketika Kejohanan Berpasukan Asia. Apabila senarai pasukan ke Kejohanan Berpasukan Dunia diumumkan, saya terkejut dan ini satu perkara yang gembira.

“Justeru saya dan pihak pengurusan sedang merancang untuk membuat latihan pusat yang lebih rapi, mungkin mengadakan latihan di luar negara bagi memastikan kami akan lebih bersedia menghadapi saingan di Busan tahun hadapan,” jelas Lee Wei kepada Utusan Malaysia.

Pada edisi lalu di Chengdu, hanya skuad wanita sahaja layak beraksi di kejohanan tersebut dan berjaya membuat kejutan dengan menewaskan Amerika Syarikat dan Kanada untuk mengakhiri saingan di tangga ketiga dalam Kumpulan 1.

Kali terakhir, kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara layak beraksi di kejohanan tersebut adalah ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×