PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini di ambang perpecahan dan disifatkan sebagai hampir karam ekoran tindakan Ahli Parlimennya menyatakan sokongan terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Perkembangan ini memberi tamparan kepada parti tersebut dan ada yang menyifatkannya sebagai karma ekoran tindakan mereka menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.
Selepas Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, dikatakan ada beberapa lagi wakil rakyat Bersatu akan berbuat demikian.
Yang terbaharu adalah Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik yang berbuat demikian semalam.
Selain empat nama berkenaan, beberapa nama lain didakwa hanya menunggu masa sesuai untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, trend politik dalam Bersatu menunjukkan wujudnya krisis keyakinan apabila ahli parlimen bersikap tidak setia kepada parti dan pucuk pimpinan dengan beralih sokong lawan.
Menurut beliau, perkara itu tidak berlaku jika krisis keyakinan terhadap pimpinan tidak wujud.
“Kita lihat apabila ahli parlimen Bersatu berani menyokong Anwar atau tidak menghormati kepimpinan Bersatu, ini menunjukkan ada masalah dalam Bersatu atau dalam sains politik dipanggil krisis keyakinan.
“Walau cuma empat daripada 30 Ahli Parlimen Bersatu, ia sudah pasti memberi petanda krisis keyakinan dan kita jangka lebih ramai lagi akan memberi sokongan kepada Anwar.
“Jadi, bagaimana boleh ada sekumpulan ahli parlimen Bersatu yang akhirnya beralih sokongan? Itu satu persoalan yang bermaksud krisis keyakinan terhadap parti Bersatu sendiri,” katanya ketika dihubungi, semalam.
SOKONG
Zahari Kechik Ahli Parlimen keempat Bersatu mengisytiharkan sokong Anwar selepas pengumuman Mohd. Azizi malam kelmarin.
Iskandar Dzulkarnain dan Suhaili masing-masing membuat keputusan menyokong Anwar 12 dan 30 Oktober lepas.
Keempat-empat ahli politik itu memberikan alasan mengutamakan kebajikan dan keutamaan rakyat dan kawasan parlimen masing-masing. Setakat ini, Bersatu menggantung keahlian Iskandar Dzulkarnain empat tahun, manakala Suhaili enam tahun.
Mengulas lanjut, Mazlan tidak menolak isu peruntukan di kawasan pembangkang mendorong ahli parlimen Bersatu beralih sokongan.
“Jadi, kepimpinan Bersatu kena memulihkan sokongan balik untuk pastikan tiada lagi beralih sokongan. Sebab mereka berani mungkin kerana ada sedikit kelompongan dalam perlembagaan parti yang menyebabkan mereka rasa selamat beralih sokongan dan tidak hilang kerusi tanpa keluar parti,” katanya.
Kata beliau, sokongan keempat-empat ahli parlimen Bersatu itu memberi kelebihan kepada Anwar selepas kerajaan pimpinannya kini mempunyai sokongan 151 ahli parlimen.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya tidak menolak ahli parlimen pembangkang tertekan melaksanakan tanggungjawab selepas tidak mendapat peruntukan dikawal sendiri.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, rakyat lebih selesa berhubung dengan wakil rakyat dipilih, tetapi malangnya, wakil rakyat itu tiada peruntukan untuk menyelesaikan masalah.
MENOLAK
“Namun saya mengingatkan semua ahli parlimen terutamanya PN, mereka dipilih kerana rakyat menolak Anwar dan juga Barisan Nasional yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Jadi ini akan menyebabkan rakyat lebih kecewa apabila wakil yang mereka pilih sokong kepimpinan yang mereka tolak.
“Kita juga melihat kesusahan rakyat hari ini berpunca daripada kelemahan kerajaan sendiri yang yang gagal membantu rakyat dari segi kenaikan kos sara hidup serta ekonomi yang begitu mendesak, mata wang yang lemah dan masa depan yang membimbangkan jika melihat daripada keadaan semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi secara sinis menyoal ahli parlimen PN yang lain, bila mereka akan mengambil tindakan sama dan menasihati mereka supaya tidak menunggu terlalu lama.
“MP (Ahli Parlimen) Tanah Merah, Ketereh, Hulu Terengganu, Sungai Besar dan Langkawi bila lagi? Jangan tunggu lama-lama, kapal lama semakin tenggelam,” tulis Puad di media sosial semalam. – UTUSAN











