PN masih kukuh – Muhyiddin - Utusan Malaysia

PN masih kukuh – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin menyaksikan seorang petugas barisan hadapan menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa melawat Klinik Kesihatan Kampung Gial, Arau, Perlis, semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perikatan Nasional (PN) masih kukuh meskipun UMNO mengambil pendirian memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menegaskan, PN akan terus mengukuhkan kerjasama dan meneruskan usaha-usaha yang dirancang bersama Pas serta parti-parti komponen lain dalam gabungan tersebut dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya fikir tidak menjadi apa-apa masalah (surat UMNO menamatkan kerjasama dengan Bersatu) walaupun kita mahu melihat gabungan parti-parti yang ada boleh terus kekal kerana rakyat sudah suka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi apa pun saya serah kepada rakan-rakan gabungan parti-parti lain. Namun dalam PN, alhamdulillah keadaan masih kukuh,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat ke pusat vaksin Klinik Kesihatan Kampung Gial, di sini semalam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini secara rasmi menghantar surat kepada Muhyiddin bagi memutuskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 walaupun mendokong kerajaan sedia ada pada ketika ini.

Ia hasil keputusan mesyua­rat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kelmarin turut memandang serius terhadap kandungan surat tersebut kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama pada masa hadapan antara UMNO, Bersatu dan PN.

Dalam hal tersebut, Bersatu memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN iaitu Pas, STAR, SAPP dan Gerakan berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang.

Malah, Bersatu juga berpendirian bahawa kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Tambah Muhyiddin, me­syua­rat biro politik parti itu kelmarin telah mengeluarkan ke­nyataan rasmi berhubung per­kara itu.

“Malah, selepas itu, kita bermesyuarat dengan Pas dan alhamdulilah Pas menyatakan pendirian yang cukup kukuh, kekal bersama dalam PN dan meneruskan apa yang dirancang,” kata Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini