Putri Ariani OKU istimewa kebanggaan Indonesia - Utusan Malaysia

Putri Ariani OKU istimewa kebanggaan Indonesia

PUTRI Ariani membuat persembahan ketika sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia Ke-78 di Jakarta. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Putri Ariani mendapat perhatian bukan sahaja di Jakarta malah hampir seluruh dunia beberapa bulan lalu.

Gadis berusia 17 tahun itu menjadi sebutan dunia hiburan selepas berjaya mendapat golden buzzer dari juri program realiti televisyen popular, Simon Cowell ketika mengikuti uji bakat America’s Got Talent (AGT) 2023 dengan suara emasnya.

Selain lontaran vokal yang memukau, jiwa kental dan keazaman Putri Ariani jelas bukan ‘kaleng-kaleng’.

Ibunya Reni Alfianty berkata, Putri Ariani menjalani kehidupan yang mencabar sejak lahir sebelum bakat istimewanya digilap hingga diangkat menjadi bintang yang membanggakan Indonesia.

Menurut Reni, anak sulung dari tiga beradik itu lahir pramatang pada usia kandungannya 6 bulan 10 hari dengan hanya mempunyai berat badan sekitar 1.3 kilogram.

Doktor yang merawat Putri Ariani tidak pernah menyatakan bagaimana keadaan anaknya itu dek keadaannya yang sukar diramal ketika itu.

Hingga pada bulan ketiga Putri Ariani dirawat di inkubator, doktor meminta agar keluarga memperbanyak doa untuk kesihatan cahaya mata istimewa itu.

“Saya bertanya kepada doktor bagaimana keadaan anak saya itu tetapi tidak pernah mereka jawab.

“Banyak-banyakkan berdoa, itu sahaja yang sering diungkap,” katanya.

Setelah berat badan Putri Ariani mencapai 1.9 kilogram, baharulah dia dibenarkan pulang ke rumah dengan syarat tidak boleh dikunjungi sesiapa selama enam bulan dan harus selalu dalam keadaan hangat.

Sesampainya di rumah, Reni menyedari ada yang aneh dengan keadaan mata Putri Ariani dan beberapa bulan kemudian doktor mengesahkan anaknya itu mempunyai katarak.

Namun selepas menjalani pemeriksaan di hospital di Singapura, Putri disahkan menghidap retinopati pramatang (ROP).

Keluarganya berusaha membawanya menjalani pembedahan namun sayangnya usaha tersebut gagal mengembalikan seluruh penglihatan Putri Ariani.

“Ya sudah kita lakukan pembedahan pada matanya. Kalau ada yang lihat mata Putri sebelah kanan agak kecil. Itu bukan bawaan lahir tetapi bekas pembedahan,” ucap Reni.

Putri dihantar ke sekolah antarabangsa di Riau seawal usia 2 tahun dan sudah sebelum dipindahkan ke Yogyakarta untuk mempelajari huruf braile, menulis serta membaca.

Putri pernah mengakui dibuli dan ditertawakan rakan-rakan ketika memulakan pendidikan peringkat menengah namun Reni pantas bertindak menukarkan anaknya ke institusi lain yang membuat anaknya lebih selesa dan mampu menyerlahkan bakat nyanyian yang ada dalam dirinya.

Sebelum menempa nama di AGT, bakat Putri Ariani sudah dicungkil lebih awal ketika dia memenangi program Indonesia’s Got Talent 2014 pada usia lapan tahun.

Walaupun gagal memenangi tempat pertama AGT 2023 dan hanya menduduki tempat keempat, video uji bakat luar biasanya kini sudah menembus 54 juta tontonan dengan 1.7 juta tanda suka dan 185,000 komen memuji kelunakan suara emasnya.

Pencapaian itu sememangnya sangat luar biasa sehingga berjaya menjadi salah satu kandungan paling popular di saluran youtube AGT. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×