SOALAN
Saya nak tanya, macamana saya nak uruskan rakan sekerja yang toksik? Selalu mengumpat dan memerli saya sehingga saya jadi stres. Ikutkan hati mahu saja berhenti kerja tapi saya perlukan duit untuk teruskan hidup.
Maisarah, Puchong.
Jawapan
Berhadapan dengan individu toksik di tempat kerja sangat memenatkan fizikal dan mental sekiranya tidak mampu mengurus emosi dengan baik. Ia akan memberi bebanan kepada mental sehingga menjejaskan rutin harian.
Rasa tidak seronok untuk bekerja, timbul pelbagai krisis dan konflik di tempat kerja sehingga memberi kesan kepada tingkahlaku anda.
Sikap sebegini tidak sepatutnya ada dalam diri seseorang, namun begitu, inilah rencah yang perlu anda pelajari sebagai satu pengalaman dalam hidup.
Sangat penting bagi anda mengetahui bagaimana cara mengurus dan melindungi diri apabila berhadapan dengan individu dan persekitaran toksik di tempat kerja.
Tetapkan sempadan antara anda dengan individu toksik.
Elakkan diri daripada terlalu rapat dengan individu toksik. Berkomunikasi apabila perlu sahaja. Bersikap tegas dan tetap dengan pendirian anda untuk menegur tingkahlaku yang tidak baik kepada anda.
Percaya diri dan yakin dengan diri sendiri.
Sesetengah individu sanggup berada dalam persekitaran toksik kerana takut dipinggirkan. Bergaul rapat walaupun sering dilayan buruk. Tanya diri anda, adakah anda memerlukan rakan sebegitu? Belajar untuk fokus dan sayang pada diri agar mental sentiasa sihat. Tidak berbaloi mempunyai ramai rakan tetapi tidak bermanfaat.
Fokus perkara dalam kawalan anda.
Fokus pada perkara yang anda boleh kawal dan lepaskan perkara yang anda tidak boleh kawal. Abaikan sikap manusia yang bertentangan dengan prinsip sebab kita tidak mampu mengubah orang lain. Fokus dan utamakan urusan kerja agar setiap rezeki anda miliki mendapat keredhaanNya.
Urus emosi dengan baik.
Berurusan dengan individu toksik sudah pasti menimbulkan rasa geram dan marah, namun berusahalah untuk mengurus emosi. Elakkan bercakap dan segera beredar apabila anda mula merasa tidak selesa.
Minta bantuan orang sekeliling.
Dapatkan khidmat nasihat dari kaunselor atau rakan sekerja lain yang anda percaya apabila anda mula berasa tidak seronok dengan perasaan anda. Luahkan isi hati dan fokus dengan kerja hakiki yang perlu anda lakukan. Tekadkan hati dan perbetulkan niat bahawa anda perlu bekerja untuk kelangsungan hidup tanpa perlu menghiraukan kata-kata orang lain.
Belajar kawal emosi agar setiap individu anda temui menjadi satu pengalaman dan pembelajaran untuk masa depan.
Hakikatnya mereka hanya mampu berkata-kata, tetapi tidak mampu menguasai sekiranya anda dapat mengurus emosi dengan betul.









