Hamzah dakwa Ahli Parlimen PN dijanji projek jika sokong Anwar

Hamzah dakwa Ahli Parlimen PN dijanji projek jika sokong Anwar

HAMZAH Zainuddin (tengah) bersama barisan jawatankuasa tertinggi Perikatan Nasional (PN) dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mendakwa mereka telah didatangi individu mendakwa ahli perniagaan yang cuba memujuk mereka untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PN,  Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beberapa rakan daripada partinya telah didekati orang berkenaan yang cuba meyakinkan mereka untuk menyokong Perdana Menteri.

“Individu berkenaan menghubungi dengan ahli Parlimen berkenaan untuk berbincang tentang projek hotel di kawasan masing-masing sebelum memujuk mereka berpaling tadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, pihak berkenaan menawarkan beberapa cadangan projek dan wang jika ahli Parlimen berkenaan setuju dengan cadangannya.

Terdahulu, dua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman telah menyatakan sokongan kepada Anwar.

Pada sidang akhbar yang sama Ahli Parlimen Kubang Pasu, Ku Abd Rahman Ku Ismail juga berkata, beliau antara yang didatangi individu tersebut dan telah menyekat nombor pemanggil.

Katanya, beliau telah ditawarkan jawatan tinggi dalam sebuah agensi persekutuan, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

Sementara itu, Hamzah turut mempersoalkan kredibiliti Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang didakwanya tidak melayan ahli Parlimen pembangkang secara adil di Dewan Rakyat.

“Kami tidak menggesa Speaker disingkirkan, kami hanya mahu beliau berlaku adil dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Hadir sama pada sidang akhbar itu  ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd. Radzi Jidin.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN pula mendakwa, Johari telah menghalang ahli Parlimen pembangkang daripada bertanya kepada menteri tiga soalan tambahan semasa sesi soal jawab walaupun ia diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat.

“Speaker hanya membenarkan dua soalan tambahan. Jadi, kami ingin memohon supaya di Parlimen, pembangkang diberi layanan yang sewajarnya berdasarkan Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×