KUALA LUMPUR: Lebuh Raya Setiawangsa Pantai (SPE) dari Setiawangsa ke Kerinchi yang dibuka kepada pengguna bermula tengah malam tadi sepanjang 20.7 kilometer mampu menjimatkan masa perjalanan sehingga satu jam.
Penjimatan itu dikira untuk perjalanan dari Taman Melati di Gombak ke Kerinchi yang hanya memerlukan 35 minit berbanding satu jam 30 minit jika menggunakan jalan sedia ada.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak perunding trafik, lebuh raya itu juga dijangka mengurangkan sehingga 30 peratus masalah kesesakan lalu lintas di sepanjang jajarannya.
“Lebuh raya ini mampu menyelesaikan masalah yang sering dihadapi pengguna terutamanya pada waktu puncak melibatkan laluan ke utara, timur, barat dan selatan Kuala Lumpur untuk masuk dan keluar dari ibu kota,’’ katanya selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya SPE di Plaza Tol Chan Sow Lin di sini semalam.

SPE yang juga dikenali Lebuh raya Duta Hulu Klang (DUKE) Fasa 3 melibatkan bakí jajaran sepanjang 16.3 kilometer selepas seksyen 4 lebuh raya itu dari Setiawangsa ke Taman Melati sepanjang 4.4 kilometer telah dibuka pada 21 Disember 2021.
Lebuh raya SPE dibahagikan kepada empat seksyen utama íaitu Kerinchi ke Salak (Seksyen 1), Salak ke Pandan (Seksyen 2), Pandan ke Setiawangsa (Seksyen 3) dan juga Setiawangsa ke Taman Melati (Seksyen 4) dengan laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.
Menurut Alexander, Lebuh raya SPE menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuh raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuh raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), DUKE dan Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), sekali gus mampu meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di pusat bandar Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, beliau berkata, Lebuh raya SPE menerima anugerah Longest Double Deck Carriageway on Single Pier Structure (Dual Direction) sejauh 2.104 kilometer dan Longest Elevated Land Bridge sejauh 20.686 kilometer daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) bagi kategori binaan.
Alexander turut menasihatkan semua pengguna mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak memberhentikan kenderaan di tepi lebuh raya semata-mata untuk mengambil gambar atau berswafoto kerana ia membahayakan diri sendiri serta pengguna lebuh raya yang lain, selain berisiko disaman.
Sementara itu katanya, pengguna jalan raya yang akan menggunakan Plaza Tol Chan Sow Lin bakal menikmati tol percuma selama 30 hari sempena pembukaan lebuh raya berkenaan.
“Mulai hari ini sehingga 2 Disember 2023, pada jam 11.59 malam, tol secara percuma diberikan kepada pengguna.
“Selain itu, kadar tol di Plaza Tol Chan Sow Lin hanyalah RM3.50 bagi kenderaan berkelas satu, ” katanya.
Tambahnya, dianggarkan kira-kira 100,000 buah kenderaan bakal melalui Lebuh Raya SPE dalam sehari.
“Justeru, saya telah diberi jaminan oleh pihak pemaju, mereka akan sentiasa menyelenggarakan lebuh raya ini dengan sebaik-baiknya demi kemudahan pengguna,” ujarnya. – UTUSAN










