SHAH ALAM: Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin dilantik sebagai Naib Canselor ketujuh Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggantikan Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor yang bersara wajib pada 12 Oktober lalu.
Pelantikan beliau berkuatkuasa kelmarin yang dibuat menerusi penyerahan surat tatacara pelantikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Putrajaya, semalam.
Shahrin dijadual memasuki pejabat jawatan nombor satu eksekutif universiti terbesar negara itu di tingkat enam Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin bermula hari ini.
Mohamed Khaled dalam satu kenyataan berkata, Shahrin seorang yang berpengalaman luas dalam bidang akademik serta penyelidikan dan mempunyai kredibiliti untuk memberikan perkhidmatan cemerlang.
“Shahrin berpengalaman luas dalam bidang akademik dan penyelidikan serta pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta pernah menjawat jawatan-jawatan penting sebelum ini. Antaranya ialah Naib Canselor UTeM (2014-2019) dan Ahli Lembaga Pengarah di Governing Board of Islamic University of Technology (IUT), Bangladesh,” katanya, semalam.

Sementara itu, beliau dalam kenyataan sama turut mengumumkan pelantikan Prof. Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) yang baharu menggantikan Prof. Datuk Dr. Mohd. Hamdi Abd Shukor.
Menurut Mohamed Khaled, Noor Azuan seorang pakar biomekanik merupakan mantan Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) serta penerima Anugerah Akademik Negara (AAN) kali ke-14 (Kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk).
“Sewaktu berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan UM, beliau telah menjulang fakulti tersebut menjadi antara 10 terbaik di dunia.
“Berbekalkan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh ini, diharap mereka dapat memberikan perkhidmatan cemerlang dalam memacu universiti masing-masing ke tahap yang lebih unggul, insya-Allah,” ujarnya. – UTUSAN










