Berjaya Land peroleh pembiayaan bersindeket AS$330 juta

Berjaya Land peroleh pembiayaan bersindeket AS$330 juta untuk projek hartanah mewah di Okinawa

FOUR SEASONS OKINAWA, projek hartanah mewah yang bakal dibangunkan oleh Berjaya Land di Okinawa, Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berjaya Land Berhad mengumumkan kejayaan menandatangani perjanjian kemudahan pinjaman bersindiket sebanyak AS$330 juta (JPY49.4 bilion/RM1.57 bilion) dengan konsortium institusi kewangan Jepun diketuai oleh Tokyo Star Bank, Ltd. dan Okinawa Development Finance Corporation (ODFC) serta Bank of The Ryukus.

Kemudahan pinjaman bersindiket itu penting untuk membiayai pembangunan hartanah mewah Four Seasons Resort & Private Residences di Okinawa, Jepun (Four Seasons Okinawa).

Pembiayaan itu menyaksikan penglibatan beberapa institusi kewangan utama termasuk Bangkok Bank Japan, The Ogaki Kyoritsu Bank dan The Aichi Bank.

Kerjasama sedemikian bukti keyakinan mereka terhadap projek Four Seasons Okinawa dan visi Berjaya Land untuk mewujudkan resort destinasi unggul di Okinawa, jelas syarikat itu dalam kenyataan.

Katanya, berkeluasan 32 ekar berhampiran kawasan pantai, Four Seasons Okinawa menjanjikan kemewahan yang tiada tandingannya dengan menampilkan 279 penginapan indah terdiri daripada 127 bilik resort mewah, 124 kondominium mewah dan 28 vila peribadi eksklusif.

Kerja-kerja awam telah siap dan pembinaan utama dijangka siap dalam tempoh 40 bulan.

“Projek Four Seasons Okinawa dengan nilai pembangunan kasar (GDV) AS$1.12 bilion, menyasarkan pembukaan pada suku kedua 2027,” jelas syarikat itu.

Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad (Berjaya), Tan Sri Vincent Tan berkata, Berjaya Land berbesar hati kerana dapat memperoleh pinjaman bersindiket untuk membiayai projek berkenaan.

Kata beliau, ia adalah bukti keyakinan pemberi pinjaman bersindiket terhadap projek itu dan keupayaan Berjaya Land untuk menjayakannya.

“Kami yakin kerjasama ini akan mewujudkan satu standard kecemerlangan baharu dalam bidang hospitaliti dan ruang hartanah di Okinawa.

“Memandangkan usaha dan pelaburan besar yang akan dimasukkan ke dalam reka bentuk dan pembinaan Four Seasons Okinawa, dan projek induk hartanah di masa depan, saya amat yakin projek pembangunan bercampur di Perkampungan Onna ini akan mempunyai potensi komersial yang besar dan akan menambah nilai yang signifikan kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Okinawa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Syed Ali Shahrul Hameed merakamkan penghargaan kepada Tokyo Star Bank dan semua institusi kewangan yang telah berganding bahu dalam membawa pinjaman bersindiket itu.

Beliau berkata, sokongan padu mereka akan membawa kepada realiti projek ikonik projek itu, menandakan satu lagi kejayaan kerjasama antara Berjaya Land dan Four Seasons.

“Membina kejayaan di peringkat antarabangsa seperti Four Seasons Hotel dan Residences Kyoto, adalah usaha kami untuk meningkatkan lagi kedudukan Okinawa sebagai destinasi pelancongan peringkat atasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×