Bekas mak nyah kini hidup ‘dikelilingi’ batu nisan, keranda

Bekas mak nyah kini hidup ‘dikelilingi’ batu nisan, keranda

MUHAMAD Asrul Abdul Kadir menyiapkan tempahan keranda di Kampung Kastam, Alor Setar, Kedah. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tiada yang lebih diinginkan oleh seorang lelaki yang merupakan bekas mak nyah setelah pulang ke pangkal jalan melainkan untuk terus beristiqamah dan berharap taubatnya diterima.

Muhamad Asrul Abdul Kadir, 38, yang ketika zaman lampaunya dikenali sebagai Jun berkata, dia memilih karier sebagai pembuat batu nisan dan keranda untuk terus mengingatkan dirinya tentang kematian.

“Saya harap tuhan terima taubat ini. Saya pilih untuk hidup dikelilingi batu nisan supaya terus istiqamah. Saya sama sekali tidak mahu kembali ke jalan itu lagi, hidup penuh dosa dan maksiat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Batu nisan dan keranda yang saya buat ini mengingatkan saya tentang mati dan paling takut saya mati sebelum taubat diterima,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kastam, di sini semalam.

Menurut Muhamad Asrul, dia pernah terjebak dengan dunia ‘mak nyah’ selama 15 tahun setelah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

“Ketika itu kerja tidak dapat dan saya terpaksa tidur di jalanan, di bawah jambatan berdekatan Dataran Merdeka itulah selama enam bulan sebelum berjumpa dengan mak nyah-mak nyah yang bekerja sebagai ‘gadis lorong’.

“Akibatnya saya terjebak juga dan bergelumang dengan dosa serta maksiat. Dapat duit memang banyak RM4,000 hingga RM5,000 sebulan ketika itu memang banyak. Tetapi hidup tak pernah tenang, duit tak pernah ada dan selalu dikejar pihak berkuasa atau gangster,’ katanya.

Katanya, keinsafan sedikit demi sedikit meresap di dalam jiwanya setelah melihat rakan-rakan yang bergelumang dalam dunia itu meninggal dunia secara mengejut ketika melakukan pekerjaan ‘kotor’ mereka.

“Ada yang diserang sakit jantung di atas pentas ketika buat persembahan. Semua itu buat saya rasa takut. Bagaimana jika pengakhiran saya juga macam itu?” katanya.

Katanya, setelah ibu, Normah Kasa, 49, dan adiknya, Muhamad Nazri, 26, meninggal dunia pada 2016 dan selang dua tahun kemudian, dia membuat keputusan pulang ke Kedah serta melupakan dunia mak nyah.

“Mak meninggal dunia kerana jangkitan kuman dalam paru-paru dan adik akibat kanser. Kehilangan mereka memberi kesan besar. Saya jadi begitu insaf dan berjanji bertaubat sepenuhnya,” katanya.

Muhamad Asrul yang lebih selesa hidup membujang berkata, dia membuka kedai membuat batu nisan dan keranda di rumah sewa yang diduduki pada 2018 sehingga kini.

“Saya mempelajari cara-cara membuat batu nisan dan keranda ini sejak tamat sekolah rendah. Ketika 13 tahun saya sudah bekerja kerana sudah berhenti sekolah. Saya lembut dan takut kena buli di sekolah, jadi saya berhenti.

“Saya mahirlah serba-sedikit buat batu nisan dan keranda. Satu perkara yang saya perasan adalah hidup saya lebih berkat walaupun pendapatan tak semewah jadi mak nyah dulu tetapi ada sahaja rezeki. Tak pernah putus dan paling penting, hati tenang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×