PETALING JAYA: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) selama dua hari bermula hari ini, dengan jangkaan bank pusat AS itu akan mengekalkan kadar faedah.
Keputusan dasar monetari Bank of Japan (BOJ) hari ini juga bakal menjadi tumpuan pasaran. Begitu juga menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetori Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis.
Pada pukul 9.05 pagi, ringgit meningkat kepada 4.7515/7580 berbanding dolar AS daripada 4.7600/7645 pada penutup semalam.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan Fed akan mengekalkan kadar faedah pada 5.50 peratus
“Ringgit naik 0.32 peratus berbanding dolar AS semalam walaupun di tengah-tengah pelbagai mesyuarat dasar monetari global yang berlaku minggu ini dan Indeks Dolar AS (DXY) turun 0.4 peratus untuk mencapai 106.138 mata,” katanya, memetik laporan Bernama.
Menurut beliau, hari ini pemain pasaran kewangan juga akan memberi tumpuan kepada keputusan dasar monetari BOJ, di mana terdapat jangkaan bahawa bank pusat itu mungkin membuat perubahan pada kawalan hasil, yang berpotensi membawa kepada peningkatan hasil lebih daripada 1 peratus
Katanya, walaupun kenaikan ringgit adalah berita baik, namun pasaran pertukaran asing dijangka kekal tidak menentu pada masa hadapan.
Ringgit didagangkan lebih rendah pada sesi pagi, berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1804/1850 daripada 3.1810/1842 semalam, namun rendah berbanding euro kepada 5.0404/0473 daripada 5.0375/0423 dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.7759/7838 daripada 5.7734/7789.
Mata wang tempatan itu didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.
Ia menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.4812/4862 daripada 3.4841/4877, lebih tinggi berbanding peso Filipina pada 8.36/8.38 daripada 8.37/8.38 dan naik berbanding rupiah Indonesia pada 298.9/299.5 daripada 299.5/299.9.
Namun, ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2243/2479 daripada 13.2351/2531 pada penutup semalam. – UTUSAN










