SHAH ALAM: Malaysia didakwa belum bersedia untuk berdepan dengan peralihan demografi pesat yang melibatkan peningkatan golongan berusia 50 tahun ke atas dan warga emas terutama dari sudut ekonomi penjagaan.
Ukuran piramid pertumbuhan umur dari 1970 sehingga unjurannya pada 2040 menunjukkan peningkatan jumlah individu berusia 50 tahun ke atas mengatasi kadar kelahiran.
Pengarah Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Norma Mansor berkata, perubahan demografi pantas itu mencetuskan jurang penjagaan yang turut dipengaruhi tahap pendapatan antara golongan kaya dan kurang berkemampuan.
“Kadar kebergantungan golongan berusia meningkat daripada 5.9 (100 orang dalam umur bekerja) pada 1970 kepada 9.7 pada 2020. Semakin ramai warga emas memerlukan sokongan daripada generasi dalam umur bekerja.
“Malah, golongan warga emas di negara ini kebanyakannya mempunyai simpanan yang sedikit dan tiada pendapatan tetap pada usia persaraan. Kajian daripada Bank Pembangunan Asia mendapati 79 peratus warga emas mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis pendapatan, namun 73 peratus mereka berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.
“Menerusi kajian itu juga, 21 peratus warga emas dikesan tidak mempunyai pendapatan,” katanya dalam Simposium Ekonomi Penjagaan Selangor 2023, semalam.
Beliau menambah, antara kesan akibat peningkatan jumlah golongan berusia di negara ini apabila ramai wanita meninggalkan kerjaya masing-masing untuk menjaga ibu bapa yang turut mempengaruhi kadar produktiviti daripada kumpulan itu.
“Hanya 55 peratus wanita di negara ini yang bekerja berbanding lelaki 80 peratus ke atas. Sedangkan di institusi pengajian tinggi lebih ramai golongan wanita.
“Antara faktor yang menyumbang hal tersebut adalah kerana menjaga ibu bapa yang sudah tua selain anak kecil. Namun itu bukanlah sesuatu yang bijak dalam perancangan ekonomi,” jelasnya.
Jabatan Perangkaan (DOSM) sebelum ini mengunjurkan peningkatan tiga kategori penduduk warga emas iaitu 60-69 tahun naik daripada 1.4 juta pada 2010 kepada 3.2 juta pada 2030.
Sementara warga emas pertengahan berusia 70 hingga 79 tahun pula meningkat daripada 0.6 juta kepada 1.9 juta dalam tempoh sama, turut menunjukkan trend sama adalah individu berusia 80 tahun ke atas yang naik daripada 0.2 juta kepada 0.7 juta orang.
Dalam pada itu, beliau Norma menyarankan kerajaan mengambil tindakan dengan menjadikan ekonomi penjagaan sebagai antara teras dalam perancangan ekonomi negara bagi membolehkan semua pihak terlibat mendapat perlindungan sosial.
“Antara yang boleh dilakukan adalah membenarkan lanjutan umur persaraan sehingga 65 tahun kerana kajian mendapati, jika warga emas negara ini boleh menepati struktur warga emas di Jepun, mereka mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 2.5 hingga 4.2 peratus.
“Majoriti warga emas berusia 60 tahun ke atas masih bekerja dan berada dalam sektor ekonomi tidak formal berikutan tiada pendapatan untuk menyara hidup mereka.
“Keluarga yang menjaga warga emas wajar diberikan bantuan menerusi perlindungan sosial, lebih ramai tenaga mahir dalam perkhidmatan sosial perlu disalurkan dalam ekonomi penjagaan untuk menyokong golongan warga emas dan kanak-kanak, mempromosikan ekonomi penjagaan menerusi komuniti dan menggalakkan warga emas untuk terus produktif,” ujarnya. – UTUSAN











