Polis kenal pasti individu terlibat penyeludupan dadah ke Australia

Polis kenal pasti individu terlibat penyeludupan dadah ke Australia

KAMARUDIN MD DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti beberapa individu di negara ini dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah methamphetamine di Melbourne yang berjaya dibongkarkan negara berkenaan pada 4 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, identiti mereka tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan.

Kata beliau, siasatan awal mendapati, dadah berkenaan diseludup dari kawasan segi tiga emas dan dibungkus semula di negara ini sebelum dihantar ke negara berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita (polis) telah dapat maklumat dari pihak berkuasa Australia. Kita sedang jalankan siasatan bagi mengenal pasti sindiket yang menyeludup dadah itu.

“Perkara itu masih dalam tindakan kita,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini semalam.

Pada 12 Oktober lalu, polis mengesahkan sedang be­kerjasama dengan Polis Australia (AFP) bagi menjalankan siasatan berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia berkaitan rampasan dadah methamphetamine di Melbourne.

Segala tindakan akan diambil PDRM bagi memastikan kegiatan penyeludupan dadah yang menjadi ancaman di negara ini dapat dibanteras tanpa kompromi.

Sebelum ini, empat lelaki dengan seorang daripada mereka warganegara Malaysia, ditahan pihak berkuasa Australia berkaitan rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 622 kg di Melbourne, Australia.

AFP dalam kenyataan pada 12 Oktober lalu melaporkan bungkusan itu baru tiba di Melbourne melalui kargo laut dari Malaysia pada 4 Oktober.

Hasil pemeriksaan, polis menemukan 622 bungkusan teh emas dan hijau, dengan setiap satu seberat satu kilogram yang disembunyikan dalam palet gulungan kertas tandas.

Dadah yang dirampas itu dianggarkan hampir AUD$560 juta (RM1.7 bilion) dan dua warga China berusia 33 tahun, seorang warga Malaysia, 34, serta warga Hong Kong, 32, ditahan.

Dua daripada lelaki itu ditahan di lapangan terbang ketika cuba meninggalkan Australia secara berasingan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×