SHAH ALAM: Selepas menguasai empat negeri, tumpuan Pas kini beralih ke Perak atau Pahang bagi mempertingkatkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, masih banyak lagi langkah politik harus diambil Pas dan antara yang perlu diberi pertimbangan adalah politik tidak membosankan khususnya untuk menawan pengundi muda.
Menurut beliau, ini kerana pasaran pengundi muda yang tidak menjadi ahli mana-mana parti politik sama besarnya dengan jumlah individu yang sudah menyertai parti politik tertentu.
Katanya, pasaran tersebut perlu dikuasai Pas demi perjalanan masa depan politik parti kerana hampir 100 peratus pengundi tradisi di masjid, surau, sekolah agama dan kawasan kelahiran asatizah sudah habis dibolot parti tersebut.
“Pas perlu melangkah ke pagar sebelah, depan, belakang kiri dan kanan untuk menjadi medan baharu. Kita mesti mempelbagaikan langkah-langkah politik dan tidak lagi terkurung dalam strategi tradisi Pas.
“Selain empat negeri, Pas mesti merangka untuk bergerak ke hadapan ke tahap seterusnya iaitu menguasai sekurang-kurangnya satu negeri lagi sama ada Pahang atau Perak.
“Kalau Perak tak dapat kita pergi ke Pahang, kalau dapat dua-dua lagi bagus. Ia adalah untuk meningkatkan lagi jumlah kerusi Pas di Parlimen dan DUN,” katanya pada sesi penggulungan di Muktamar Tahunan Pas kali ke-69, di sini, semalam.
Pas kini menguasai Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.
Pada masa sama, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, sekali lagi mengulangi Pas kini adalah parti terbesar kerana memiliki kerusi Parlimen dan DUN terbanyak serta sebagai ‘king maker’ dalam semua keputusan serta gerakan dalam politik Malaysia.
“Tak ada parti lain yang boleh diharap oleh rakyat Malaysia selain Pas untuk mencatur, menyusun perjalanan politik negara.
“Seluruh harapan rakyat Malaysia kini terletak di bahu Pas, jadi marilah kita sama-sama menjayakannya,” katanya. – UTUSAN










