Tragedi Batang Kali: Status tanah pertanian ditukar projek resort

Tragedi Batang Kali: Status tanah pertanian ditukar kepada projek resort

LAPORAN forensik nahas tanah runtuh di Batang Kali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali yang meragut 31 nyawa pada Disember tahun lalu awalnya diluluskan untuk tujuan pertanian tetapi telah ditukar kepada pembangunan resort.

Laporan setebal 141 muka surat yang dimuat naik di laman Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) semalam mendedahkan lokasi kejadian tanah runtuh itu berada di bawah komponen pembangunan taman botani.

“Pemilik tanah sebelum itu pernah memohon untuk membangunkan satu resort peranginan, namun ditangguhkan kerajaan negeri Selangor kerana dasar larangan pembangunan pada ketinggian melebihi 1,000 meter dari aras laut.

“Satu kertas kerja pembangunan kemudian dibentangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada Oktober 2017, namun ia perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Negeri Selangor (JPKSAS) untuk kelulusan.

“Bagaimanapun jawatankuasa itu memutuskan menolak permohonan kerana status tanah pertanian,” kata laporan tersebut.

Terdahulu, laporan sama menjelaskan tanah berkenaan didaftarkan atas nama Malaysia Botanical Garden Resort (MBGR) Sdn. Bhd. untuk tujuan pertanian bagi tempoh pajakan selama 99 tahun.

Pada Mei 2017 kata laporan itu, satu permohonan kebenaran merancang telah dikemukakan semula kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bagi tujuan penyerahan balik dan pemberimilikan untuk pertimbangan semula.

Katanya, permohonan itu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) untuk kelulusan, namun diminta ditarik balik antaranya kerana cadangan bercanggah dengan dokumen perjanjian pajakan antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan MBGR yang menyatakan bahawa tanah pajakan hendaklah digunakan semata-mata untuk pertanian dan penternakan sahaja.

Pemohon juga perlu mendapatkan kelulusan kajian impak alam sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor sekiranya mahu meneruskan projek tersebut.

Kata laporan itu, mesyuarat Jawatankuasa JPKSAS pada 24 Julai 2019 memberi kelulusan dan bersetuju dengan permohonan projek tersebut.

“Sehubungan dengan kelulusan yang telah diberikan, MBGR melalui pihak perancang telah memohon kebenaran merancang kepada MDHS untuk kelulusan.

“Pada 3 Disember 2019, OSC MDHS selaku pihak berkuasa perancang tempatan meluluskan permohonan kebenaran merancang kepada MBGR bagi permohonan kebenaran dalam merekabentuk rancangan tanah bagi tujuan pengambilan dan pemilikan semula bagi cadangan pembangunan sebuah pusat peranginan dan taman Botani,” kata laporan itu.

Dalam pada itu laporan sama juga menyebut, punca kejadian tanah runtuh adalah disebabkan oleh faktor semulajadi seperti hujan dan geologi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×