HUTANG isi rumah mencatatkan pertumbuhan pada kadar yang sederhana sebanyak 5.1 peratus pada akhir Jun 2023, menurut Tinjauan Ekonomi 2024.
Laporan itu berkata, pertumbuhan pada separuh pertama itu didorong oleh pembelian hartanah kediaman di bawah program insentif pemilikan rumah serta pembelian kenderaan bermotor berikutan lanjutan tempoh pengecualian cukai jualan dan pendaftaran kenderaan baharu.
Katanya, meskipun hutang isi rumah meningkat pada kadar yang perlahan, nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 81.9 peratus pada Jun disebabkan oleh pengembangan KDNK nominal yang sederhana dalam tempoh yang sama.
“Sebahagian besar hutang isi rumah bertuiuan untuk mengumpul kekayaan merangkumi hartanah kediaman sebanyak 60.3 peratus, hartanah bukan kediaman (5.5 peratus) dan pelaburan dalam sekuriti (4.5 peratus).
“Daya tahan kewangan isi rumah disokong oleh kapasiti pembayaran hutang yang sihat dan penampan kewangan yang kukuh,” kata laporan tersebut.
Tambah laporan itu, nisbah khidmat hutang (DSR) bagi pinjaman terkumpul dan pinjaman yang baru diluluskan kekal kukuh berikutan piawaian pengunderaitan hutang yang berhemat.
Secara keseluruhan, jumlah aset kewangan isi rumah pada akhir Jun adalah sebanyak RM3.036 trilion dan melebihi jumlah hutang isi rumah sebanyak 2.05 kali.
“Peningkatan pendapatan dan pekerjaan membolehkan kebanyakan peminjam tidak lagi memerlukan program bantuan bayaran balik dan mampu meneruskan pembayaran balik pinjaman.
“Perkembangan ini adalah petanda baik untuk kedudukan kewangan isi rumah,” ujarnya.
Sehingga akhir Julai, jumlah pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 5.4 peratus, disokong oleh permintaan berterusan dalam kredit pengguna terutamanya pembelian hartanah kediaman dan kereta penumpang. – UTUSAN










