KADAR inflasi diunjur antara 2.1 hingga 3.6 peratus pada 2024 sebahagiannya disebabkan oleh peralihan secara berperingkat ke arah mekanisme subsidi bersasar bagi memastikan pengagihan sumber yang lebih saksama.
Selain itu, prospek inflasi berhadapan risiko turn naik kadar pertukaran mata wang dan faktor berkaitan penawaran seperti harga komoditi global, ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim.
Sementara itu, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dijangka lebih tinggi pada 2024 antara 0.1 peratus hingga 2.1 peratus sejajar dengan kesan asas yang berkurangan dan aktiviti pengeluaran yang lebih baik, menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024,
Bagi 2023, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 2.8 peratus dalam tempoh Januari hingga Ogos 2023 disumbangkan oleh trend harga komoditi global yang menyederhana, pengurangan gangguan berkaitan bekalan, kawalan harga dan pemberian subsidi untuk barangan terpilih sedia ada; serta kesan tertangguh berikutan normalisasi OPR.
Inflasi dijangka kekal sederhana bagi tempoh empat bulan terakhir manakala inflasi teras dijangka kekal tinggi dalam tempoh yang sama berbanding purata jangka masa panjang.
Bagi keseluruhan tahun, inflasi dianggar antara 2.5 peratus hingga 3 peratus. Indeks Harga Pengeluar (IHPR) berdasarkan pengeluaran tempatan merosot sebanyak 2.4 peratus pada lapan bulan pertama 2023 disebabkan oleh harga komoditi global yang menyederhana terutamanya minyak mentah.
Berdasarkan sektor tertentu, penguncupan dalam IHPR sebahagian besarnya didorong oleh penurunan ketara dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan (19.4 peratus) serta perlombongan (8.4 peratus).
Secara keseluruhan, IHPR dijangka menyusut antara -2.5 peratus hingga -0.5 peratus pada 2023 disebabkan oleh kos input global yang lebih rendah. – UTUSAN










