Kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion atau 19.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Belanjawan 2024.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM303.8 bilion atau 77.1 peratus disalurkan kepada perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM90 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE).
Kerajaan Persekutuan bertekad untuk memperuntukkan sumber bagi memperkukuh pembentukan modal ke arah memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang.
Berdasarkan laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan merupakan tiga penerima utama Belanjawan 2024 merangkumi 42.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan.
“Berdasarkan peruntukan mengikut sektor, sektor sosial diperuntukkan sebanyak RM149.7 bilion atau 7.6 peratus daripada KDNK diikuti ekonomi (RM66.7 bilion; 3.4 peratus), keselamatan (RM40.1 bilion; 2 peratus) dan pentadbiran am (RM16.9 bilion; 0.9 peratus).
“Baki sebanyak RM120.4 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan.
“Peruntukan OE dianggar sebanyak RM303.8 bilion atau 15.4 peratus daripada KDNK bagi terus menyokong penggunaan sektor awam.
“Walaupun terdapat peningkatan peruntukan untuk emolumen, bayaran khidmat hutang (DSC), bayaran persaraan serta perkhidmatan dan bekalan, namun kenaikan tersebut dimbangi dengan peruntukan subsidi lebih rendah yang menyebabkan OE meningkat sedikit pada kadar 1.2 peratus berbanding 2023,” katanya.
Emolumen untuk penjawat awam kekal sebagai komponen terbesar yang merangkumi 31.5 peratus daripada OE dan dijangka meningkat sebanyak 4.8 peratus kepada RM95.6 bilion.
Pertumbuhan itu terutamanya disumbangkan oleh kenaikan gaji tahunan dan pengambilan baharu untuk mengisi jawatan kritikal khususnya dalam perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
Subsidi dan bantuan sosial yang merangkumi 17.4 peratus daripada OE diunjur menyusut sebanyak 17.9 peratus kepada RM52.8 bilion disebabkan oleh pelaksanaan program rasionalisasi subsidi secara berperingkat terutamanya bahan api dan elektrik.
Daripada jumlah tersebut, sekitar 60 peratus digunakan untuk pembayaran subsidi manakala selebihnya untuk bantuan sosial dan insentif.
Di samping itu, program bantuan sosial akan terus diperkukuh melalui pembangunan pangkalan data berpusat yang baharu untuk mengatasi isu ralat pemasukan dan penyisihan.
Komponen DSC merupakan bayaran yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk dibayar sebelum perbelanjaan OE yang lain.
Sejumlah RM49.8 bilion diperuntukkan bagi DSC yang merangkumi 16.4 peratus daripada OE terutamanya disebabkan oleh hutang Kerajaan Persekutuan yang semakin meningkat.
Daripada jumlah ini, sebanyak 98.5 peratus atau RM49 bilion diperuntukkan bagi pinjaman domestik manakala bakinya untuk pinjaman luar pesisir.
Perkhidmatan dan bekalan yang menyumbang 12.5 peratus daripada OE dijangka meningkat sebanyak 11.8 peratus kepada RM38 bilion.
Sebanyak 83.2 peratus daripada jumlah ini diperuntukkan bagi bekalan bahan, perkhidmatan pembersihan dan keselamatan; pembaikan dan penyenggaraan,telekomunikasi dan utiliti serta perkhidmatan lain.
Selain itu, bayaran persaraan yang merangkumi 10.7 peratus daripada OE dijangka kekal stabil pada RM32.4 bilion.
Daripada jumlah ini, sebanyak RM26 bilion atau 80.1 peratus adalah bagi bayaran pencen kepada sekitar 971,000 pesara manakala selebihnya untuk bayaran gratuiti dan pemberian tunai sebagai ganti cuti rehat terkumpul.
Berikutan komitmen pencen yang dijangka terus meningkat, kerajaan sedang mempertimbangkan peralihan kepada skim bayaran persaraan bercarum (defined contribution) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan obligasi pencen pada masa hadapan.
Peruntukan berjumlah RM15.6 bilion merupakan pemberian kepada Badan Berkanun Persekutuan terutamanya bagi membiayai perbelanjaan operasi seperti emolumen seta perkhidmatan dan bekalan.
Sebanyak 60.3 peratus daripada jumlah pemberian diperuntukkan kepada 20 universiti awam dan sembilan hospital pengajar.
Sementara itu, pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri diperuntukkan sebanyak RM8.7 bilion dengan RM6.7 bilion merupakan pemberian yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










