Ahli UMNO perlu isytihar jika sokong Muhyiddin - Utusan Malaysia

Ahli UMNO perlu isytihar jika sokong Muhyiddin

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Mac ini akan menjadi penentu kepada kehendak akar umbi parti terbesar orang Melayu itu dalam isu kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, lebih penting lagi ia akan menjadi platform kepada sebilangan ahli Parlimen UMNO yang ketika ini memilih menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memuktamadkan pendirian mereka.

Beliau percaya perhimpunan parti itu jika dibenarkan oleh PN akan memberi tekanan kepada Muhyiddin yang kini sedang cuba menarik sokongan seberapa banyak ahli Parlimen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Oleh itu, ahli parlimen daripada UMNO yang memilih menyokong Muhyiddin kena buat keputusan. Kalau akar umbi sudah buat keputusan dalam perhimpunan itu nanti, mereka juga mesti buat keputusan yang sama dengan akar umbi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas jaminan Muhyiddin kelmarin yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen selepas masalah Covid-19 dapat diatasi.

Tegas Perdana Menteri semasa menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin itu, nasihat tersebut bagi membolehkan pilihan raya diadakan sekali gus rakyat bebas memilih kerajaan mana yang layak untuk memerintah.

Nur Jazlan mendakwa, Muhyiddin sendiri kelihatan tidak bersedia untuk menghadapi PRU-15 berikutan ketidaksediaannya untuk berhadapan dengan media secara lebih terbuka.

“Kelihatannya `media-media terpilih’ sahaja ingin ditemui Perdana Menteri, sekali gus tidak menampakkan dirinya menyerlah sebagai pemimpin yang berwibawa dan disegani.

“Hal ini juga menjadi salah satu sebab utama UMNO selain tidak dapat menerima Bersatu di akar umbi, juga tidak yakin dengan keupayaan beliau sebagai Perdana Menteri.

“Bahawa jika beliau ingin mempercepatkan PRU-15, sudah tentu Perdana Menteri menunjukkan kewibawaannya, namun ini tidak berlaku. Sebaliknya beliau lebih `banyak bersembunyi di belakang program yang diatur’,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini