Belanjawan 2024, janji PAC, laporan audit warnai Dewan Rakyat 

Belanjawan 2024, janji PAC, laporan audit dan isu ‘anak bapa’ warnai mesyuarat minggu pertama Dewan Rakyat 

AHLI Parlimen menolak cadangan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memaparkan nama ahli Parlimen yang ponteng dalam laman web Dewan Rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di minggu pertama selesai semalam, manakala perhatian negara hari ini tertumpu kepada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) pukul 4 petang ini.

Perdana Menteri juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentang belanjawan tersebut yang merupakan belanjawan kedua Kerajaan Perpaduan di bawah gagasan Malaysia Madani.

RANG UNDANG-UNDANG 

Perbahasan Dewan Rakyat sepanjang minggu ini menyaksikan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) berjaya diluluskan.

RUU itu antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 atau Akta 533, bagi membolehkan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah. Lima RUU lain turut diluluskan.

Namun, yang masih menjadi persoalan ialah proses pembatalan atau pengguguran keahlian wakil daripada kedua-dua negeri masih belum dimuktamad, dan perkara itu akan dibincang lebih lanjut dalam jawatankuasa bagi menimbang RUU berkenaan.

RUU GENERASI PENAMAT ROKOK (GEG) 

Satu hal paling mengecewakan banyak pihak ialah RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, yang terus berdepan pelbagai dugaan untuk dibentang dan dibahas dalam Dewan Rakyat.

Ini disebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil keputusan menarik balik dan menangguhkan pembentangannya kerana difahamkan, ia perlu dibentang di Kabinet terlebih dahulu.

Ironya, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa sudah pun memberi jaminan membentangkannya pada Selasa lalu, sekaligus memberi harapan negara bakal mempunyai undang-undang bagi menamatkan generasi perokok untuk individu yang lahir selepas 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan bagi menimbang RUU tersebut mengesyor penangguhan kuat kuasa undang-undang melarang individu lahir selepas 1 Januari 2007 dan seterusnya, daripada menghisap produk tembakau atau rokok elektronik.

Penangguhan penguatkuasaan itu sehingga satu tempoh masa tertentu, atau sehingga laporan berkala yang diperlukan oleh RUU itu dibentang.

PAC TUNAI JANJI  

Sementara itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah menunaikan janjinya membentang dua laporan prosiding pertama berhubung kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS), milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023.

Kerajaan dijadual akan menerima kelima-lima kapal tempur pesisir pantai (LCS) pada tahun 2029 dan memerlukan tambahan kos RM2.098 bilion daripada kos asal RM9.128 bilion.

Satu lagi laporan berhubung terimaan dan bayaran obligasi sosial perjanjian konsesi pengurusan industri padi dan beras negara, di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 2021.

PAC mendapati Padiberas Nasional Berhad (Bernas) masih belum menyalurkan baki berjumlah RM25 juta daripada RM37 juta sehingga 14 Jun lalu.

Selain itu, seramai 300 pesawah yang sudah meninggal dunia masih menerima pembayaran sebanyak RM0.73 juta menerusi Skim Subsidi Harga Padi (SSHP), akibat tidak dipantau sepenuhnya oleh kementerian menyebabkan sistem pengurusan pembayaran SHHP tidak teratur.

LAPORAN AUDIT 

Dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2022 di Parlimen pada Selasa lalu, hutang negara didapati meningkat RM99.776 bilion atau 10.2 peratus tahun lalu, menjadikan hutang keseluruhan mencecah RM1.080 trilion berbanding RM979.814 bilion pada 2021.

Daripada keseluruhan hutang itu, pinjaman dalam negeri berjumlah RM1.050 trilion atau 97.3 peratus, manakala selebihnya RM29.513 bilion atau 2.7 peratus adalah hutang luar.

SINDIRAN ‘ANAK BAPA’ 

Tidak dilupakan adegan mencuit hati semasa perbahasan Dewan Rakyat semalam yang kecoh ketika seorang ahli Parlimen pembangkang menyebut ‘anak bapa’, selepas Dewan menerima usul tergempar Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari, berhubung isu sorokan beras di Kedah.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng memaklumkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah menerima satu usul tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) pada 11 Oktober 2023.

Sehubungan itu, Johari telah mengarahkan Timbalannya, Datuk Ramli Mohd. Nor mempertimbang usul berkenaan dan setelah meneliti, usul itu memenuhi kriteria perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak berpuas hati kerana mendakwa haknya telah dinafikan disebabkan beliau telah mengemukakan usul tergemparnya sehari lebih awal (Selasa) berbanding Mohammed Taufiq.

Beliau merasakan seolah-olah terdapat situasi pilih kasih kerana Dewan membenarkan usul-usul tergempar yang dihantar dalam masa yang terlalu singkat namun berpeluang dibahas.

Bagaimanapun, Johari memberitahu tiada dwi standard terhadap penolakan usul tergempar dikemukakan pembangkang dengan Mohammed Taufiq mengenai isu sorokan beras yang dibenarkan dibahas dalam kamar khas Dewan Rakyat semalam.

Ini kerana, usul dikemukakan Shahidan berhubung kekurangan tenaga kerja tempatan dalam bidang kejururawatan dan kedai gunting rambut tidak memenuhi peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat 18 (1).

Sebaliknya, katanya, usul Mohammed Taufiq Johari pula berkaitan isu padi dan beras yang berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×