SHAH ALAM: Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik antara nama disebut-sebut akan menjadi pentadbir Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor bersara wajib berkuat kuasa hari ini.
Nama beliau tular selepas terdapat sekeping poster didakwa tular dalam kalangan kakitangan universiti yang mendakwa anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu dicadangkan untuk menjawat jawatan nombor satu eksekutif UiTM.
Selain beliau, turut disebut adalah pegawai kanan universiti itu sendiri seperti Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA) UiTM, Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman.
Selain itu, Penolong Naib Canselor Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM, Prof. Datuk Dr. Mizan Hitam dan Penolong Naib Canselor Kolej Alam Bina UiTM, Prof. Dr. Jamalunlaili Abdullah juga antara nama yang dipercayai turut menjadi calon.
Turut disebut-sebut menjadi calon adalah pegawai UiTM yang sudah bersara iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (ICEPS) UiTM, Prof. Datuk Dr. Azizul Halim Yahya dan bekas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA) UiTM, Prof. Dr. Kamal Harun.
Sementara calon dari luar universiti, selain Maszlee, yang dipercayai turut dicadangkan adalah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Bekas Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), KPT, Prof. Datuk Dr. Nasrudin Mohamad serta Naib Canselor dan Presiden Universiti Selangor (Unisel), Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman juga menjadi perhatian warga UiTM.
Pejabat di tingkat enam Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin itu menjadi tumpuan kerana penghuninya bakal mentadbir keseluruhan sistem UiTM dengan 34 cawangan di seluruh negara berserta sekitar 200,000 warga termasuk mahasiswa dan kakitangannya.
Selain itu, penjawat jawatan tersebut juga bakal mempunyai jaringan lebih sejuta alumninya yang berkhidmat di pelbagai sektor awam dan swasta di dalam ataupun di luar negara.
Menurut sumber, terdapat 26 orang dilaporkan memohon jawatan nombor satu universiti terbesar itu sejak diiklankan enam bulan lalu bagi mengisi kekosongannya.
Katanya, daripada jumlah tersebut hanya lapan orang yang dipilih akan dicadangkan oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UiTM untuk dibawa ke Jawatankuasa Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Proses tersebut sama seperti pelantikan Naib Canselor sebelum ini yang melalui pelbagai peringkat dan tapisan termasuk temu duga daripada jawatankuasa tersebut sebelum dua atau tiga nama dicadangkan kepada menteri.
“Seperti sebelum ini, nama-nama tersebut turut akan dibawa ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebagai pemakluman dan dalam masa sama disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah sebagai Canselor UiTM,” katanya. – UTUSAN










