Segerakan Bandar Gerbang Selatan Simpang Pelangai

Segerakan Bandar Gerbang Selatan Simpang Pelangai

PROSES mewujudkan Bandar Gerbang Selatan Simpang Pelangai di Pelangai, Bentong, Pahang perlu disegerakan bagi mengubah landskap pembangunan di kawasan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Bandar Gerbang Selatan Simpang Pelangai yang dijanjikan Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Sabtu lalu perlu digerakkan segera sebagai bukti kerajaan serius dan benar-benar ikhlas mengubah landskap pembangunan infra kawasan berkenaan.

Kemenangan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam memberi mesej jelas kepada Kerajaan Pusat dan negeri tentang harapan tinggi penduduk di situ untuk menikmati kemudahan asas setanding lain-lain kawasan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, kemajuan pekan Simpang Pelangai menjadi indikator sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Beberapa isu berbangkit seperti perumahan generasi kedua dan peluang pekerjaan dan keperluan lokal seperti lampu jalan antara yang perlu diberi perhatian serius oleh wakil rakyat Pelangai dan Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun isu yang ada adalah isu lama dan diputar semula oleh pembangkang pada PRK DUN Pelangai tetapi ada kebenarannya yang perlu ditangani dengan serius dan mesti ada penyelesaiannya oleh kerajaan,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Gapoi, Ramli Mat pula berharap kerajaan negeri dapat menyelesaikan isu pemilikan tanah lebih 300 penduduk di situ yang tidak selesai sejak sekian lama.

Menurutnya, permohonan bagi menyelesaikan isu status tanah di situ supaya digazetkan sebagai tanah Orang Asli sudah dihantar kepada kerajaan sejak 10 tahun lalu.

Ketua Peneroka Felda Chemomoi, Abdul Ghani Taib, 66, pula berkata, kemenangan BN menandakan pengundi yakin dengan kemampuan kerajaan negeri dan Pusat menunaikan janji pembangunan demi masa depan Pelangai yang lebih baik.

“Pembangunan bersepadu Gerbang Selatan Simpang Pelangai perlu diberikan keutamaan selain isu lokal seperti lampu jalan yang menjadi tanda aras kredibiliti kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×