BATU GAJAH: Komuniti penduduk di Pekan Papan di sini mengambil inisiatif membawa sendiri pelancong untuk menyaksikan keunikan bangunan-bangunan lama berusia lebih 100 tahun.
Kurator Galeri Warisan Papan dan juga Ketua Kumpulan Kerja Pemuliharaan Warisan Papan, Jacky Chew berkata, rancangan mereka adalah untuk mentransformasi Pekan Papan dan Kampung Baharu Papan kepada perkampungan warisan.
“Kampung Baru Papan adalah salah satu daripada tujuh kampung Baru dalam Semenanjung yang telah dicalonkan oleh Malaysia International Council on Monuments and Sites (Icomos) kepada Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sebagai tempat yang sesuai dijadikan tapak warisan dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Di Malaysia, sehingga kini terdapat empat tempat yang telah diiktiraf oleh pihak UNESCO sebagai World Heritage iaitu Gunung Mulu, Sarawak; Taman Kinabalu, Sabah; Lembah Lenggong, Perak dan Bandar Melaka dan George Town.
Menurut Jacky, struktur bangunan lama di pekan Papan di sini kebanyakan usang, malah ada yang sudah ditumbuhi pokok, namun memiliki keunikan tersendiri sehingga menarik ramai pelancong luar negara terutama dari Singapura.
Jacky berkata, bangunan-bangunan lama di di pekan itu dikekalkan dan tidak boleh diubah suai atau diusik kerana ia masih mempunyai pemilik.
“Jika nak buat pemulihan semula bangunan-bangunan ini, ia perlu mendapat persetujuan daripada pemilik dahulu kerana setiap bangunan ada pemiliknya,” katanya. –UTUSAN











