Jualan UMWT naik lapan peratus kepada 76,511 unit

Jualan UMWT naik lapan peratus kepada 76,511 unit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT), merekodkan pertumbuhan mampan apabila merekodkan jumlah jualan Toyota sebanyak 9,020 unit bagi September 2023, manakala Lexus sebanyak 208 unit.

UMWT dalam satu kenyataan berkata, dengan kejayaan tersebut, Kumpulan berjaya merekodkan peningkatan sebanyak lapan peratus kepada 76,511 unit bagi jumlah jualan 2023 sehingga September berbanding 70,872 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut UMWT, Toyota terus mengukuhkan tawarannya kepada pemandu dalam negara dengan pengenalan model Yaris IMP bagi mengukuhkan kedudukan utamanya dalam pasaran hatchback segmen B bukan nasional.

“Menampilkan penambahbaikan penggayaan, teknologi baharu dan suasana dalaman yang segar, Toyota Yaris baharu dibina berdasarkan kejayaan ketara model sedia ada, yang terjual lebih 60,300 unit sejak pelancarannya pada 2019.

“Selain itu, Toyota turut memperkenalkan aplikasi Toyota MY baharu dengan menawarkan pengalaman digital yang dipertingkat dan lebih lancar kepada pelanggan melalui gabungan ciri aplikasi Toyota Drive dan Toyota 24Seven ke dalam aplikasi tunggal,” katanya.

Sementara itu, Presiden UMWT, Datuk Ravindran K berkata, bagi memenuhi jangkaan pelanggan Toyota, Kumpulan terus mengemas kini dan menambah baik tawarannya seperti Toyota Yaris terbaharu yang mencerminkan slogannya.

Ujar beliau, model Yaris IMP disasarkan kepada pemandu Gen Z yang mempunyai penghargaan yang tinggi terhadap gaya, ekspresi diri dan kedudukan sosial.

“Dengan penampilan luaran yang bergaya hinggalah kepada teknologi canggih yang ditambah dengan ciri ‘Toyota Safety Sense’, model baharu itu menawarkan keselesaan serta ketenangan fikiran semasa pemanduan.

“Di samping itu, falsafah korporat kami tentang kaizen, atau penambahbaikan berterusan, memberi inspirasi kepada kami untuk melampaui mencipta kenderaan yang memenuhi keperluan pemandu, dan juga memberi tumpuan kepada meningkatkan pengalaman pelanggan dan titik sentuh Toyota secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×