PETALING JAYA: Boustead Plantations Bhd. (BPlant), syarikat milik penuh Boustead Holdings Bhd. (BHB), perlu menerima tawaran pengambilalihan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada harga tawaran RM1.55 sesaham.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKMM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pihaknya tidak melihat sebarang masalah kepada BPlant untuk menerima tawaran LTAT selepas cadangan penjualan 33 peratus kepentingan dalam syarikat berkenaan kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) tidak diteruskan.
“Harga yang ditawarkan oleh LTAT adalah sama seperti yang ditawarkan KLK dan saya percaya LTAT telah menjalankan kajian terlebih dahulu sebelum menawarkan harga sama kepada BPlant.
“Justeru itu, saya kira tawaran berkenaan merupakan harga wajar dan BPlant tidak mempunyai sebarang masalah menerimanya memandangkan saya tidak nampak ada syarikat lain berminat untuk mengambil alih anak syarikat BHB itu,” katanya.
Abu Sofian berkata, sekiranya LTAT berjaya mengambil alih BPlant, entiti yang menguruskan dana persaraan warga tentera itu perlu mengkaji semula pengurusan dan kewangan BPlant secara keseluruhan.
“Kalau LTAT berjaya membeli BPlant maknanya ia bagus, tetapi LTAT perlu melihat semula serta mengkaji semula pengurusan dan kewangan BPlant bagi meningkatkan pengeluaran agar ia lebih efisien dan mampu menjana pendapatan lebih tinggi.
“Hal ini mustahak kerana kadang-kadang kita lihat sesebuah syarikat ini kelihatan baik tetapi tanpa kita sedar bila kewangannya tidak kukuh ia akan memberi kesan pada masa akan datang,” kataya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya BPlant menjadi milik LTAT, syarikat yang mempunyai kekayaan tanah dan perladangan di Malaysia yang sangat luas itu masih dimiliki oleh Bumiputera dan bukannya bangsa lain.
Beliau bagaimanapun berkata, kegagalan cadangan pelupusan 33 peratus kepentingan dalam Bplant oleh LTAT dan BHB kepada KLK juga bermaksud kita kehilangan peluang menimba pengetahuan serta pengalaman KLK dalam menguruskan ladang.
“KLK ini merupakan antara syarikat perladangan yang terbaik dalam Malaysia, jadi kita kehilangan peluang menimba pengetahuan dan pengalaman mereka dari segi pengurusan ladang, jika tidak pasti BPlant boleh menjadi lebih maju,” katanya.
Pada 24 Ogos lalu, KLK mengemukakan cadangan untuk membeli 739.2 juta saham, atau 33 peratus kepentingan dan satu saham BPlant daripada BHB pada harga RM1.15 bilion.
Bagaimanapun, 4 Oktober lalu, LTAT, BHB dan KLK bersetuju untuk tidak meneruskan cadangan penjualan 33 peratus kepentingan dalam BPlant kepada KLK. – UTUSAN










