PETALING JAYA: Malaysia dikhuatiri melakukan kesilapan apabila mengejar status negara perindustrian sehingga melupakan kepentingan sektor pertanian yang telah lama diceburi sehingga menimbulkan isu keterjaminan makanan.
Itu dakwaan penyelidik bebas Australia, Murray Hunter yang juga bekas profesor di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mengenai kemelut isu keterjaminan makanan negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hunter yang kini menetap di Thailand dan pernah mengajar di beberapa buah universiti di negara jiran itu berkata, berbanding di Thailand, bidang pertanian sangat dipandang tinggi oleh kerajaan termasuk disokong universiti dan industri.
Malah katanya, Thailand lebih maju dari segi penanaman padi dan keterjaminan makanan disebabkan mereka menggunakan sepenuhnya petani tempatan, bukannya pekerja asing.
Kata beliau, ia sangat penting kerana tenaga tempatan lebih faham tentang penjagaan padi di negara masing-masing berbanding pekerja asing.
“Malaysia tergesa-gesa ke arah perindustrian dan institusi pendidikan tinggi telah menjadikan pertanian padi amat tidak menarik.
“Terdapat kekurangan buruh di banyak kawasan penanaman padi dan hasil tuaian sehingga pemprosesan dan penjualan dijaga oleh orang asing, yang paling kerap mengambil sebahagian besar subsidi,” katanya.
Beliau mengulas kemelut keterjaminan makanan dan sektor pertanian negara ini khususnya dalam aspek penanaman padi.
Dari soal benih hingga ke perbekalan, kebanyakan pesawah sekian lama mengadu soal pengairan khususnya di Perlis.
Hunter berkata, Malaysia sepatutnya menghasilkan sebanyak 65 peratus keperluan domestiknya.
“Ini bermakna 35 peratus daripada keperluan beras domestik Malaysia adalah diimport. Beras tempatan kebanyakannya dihasilkan oleh pekebun kecil di seluruh kawasan penanaman padi negara.
“Bagaimanapun, antara kelemahan lain di Malaysia adalah disebabkan plot tanah pertanian yang semakin mengecil mengakibatkan terdapat sejumlah besar tanah padi yang tidak digunakan di seluruh negara,” katanya.
Menurut Hunter, setakat ini, tidak banyak universiti yang membuat kajian tentang bidang pertanian tetapi lebih fokus kepada bidang keusahawanan.
“Malaysia perlu lebih banyak inovasi bentuk kerjasama untuk membangunkan ekonomi pertanian negara,” kata beliau. – UTUSAN










