GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli yang menetap di kawasan pedalaman di daerah ini mendakwa terpaksa berulang-alik hampir 100 kilometer (km) bagi mendapatkan bekalan beras yang lebih murah di kawasan bandar.
Mereka berdepan masalah harga beras yang dijual pada harga tinggi di perkampungan iaitu melebihi harga RM50 bagi 10 kilogram (kg) ketika ini.
Seorang penduduk dari Kampung Kelaik, Pos Blau, Anglah Angah, 41, berkata, tindakan itu disebabkan mereka tidak tahan dengan harga beras yang tinggi dan terpaksa keluar ke bandar mendapatkan beras termasuk barangan kawalan dan makanan asas lain.
“Di kampung saya harga 10kg beras dijual sehingga RM50 manakala beras lima kg dijual dengan harga lebih RM20 dan sepeket gula pula dijual pada harga RM5.
“Ahli keluarga saya seramai lapan orang jadi 10kg beras hanya boleh bertahan seminggu Hari ini, saya menempuh perjalanan hampir 100 kilometer dengan motosikal untuk ke bandar Gua Musang mendapatkan beras yang lebih murah iaitu RM39 untuk 10kg,” katanya di Bandar Baru, di sini semalam.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Ramli Along, 45, berkata, kenaikan harga barangan itu membuatkan mereka berada dalam keadaan tertekan susulan pendapatan mencari hasil hutan yang tidak menentu ketika ini.
“Kebanyakan Orang Asli di kampung ini menjual buluh di Blue Valley, Cameron Highlands Pahang) dengan harga RM0.50 sebatang. Harga buluh semakin murah tetapi harga beras dan makanan lain semakin naik. Kami memang terhimpit dengan keadaan sekarang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Daerah Gua Musang, Zamzani Harun berkata, pihaknya mendapat aduan daripada penduduk Orang Asli yang rata-ratanya dari kawasan pedalaman.
Katanya, pihaknya memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya melakukan lawatan dan penyiasatan.
“Saya harap kenaikan makanan asas di seluruh negara ini tidak berpanjangan dan kerajaan dapat menangani isu ini bagi membolehkan pihak pemborong dan peruncit memberi harga berpatutan kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN











