PETALING JAYA: Tindakan beberapa ahli Parlimen keluar parti atau mengalihkan sokongan dijangka berterusan selagi Parlimen belum bersidang, malah ia bukan sahaja melibatkan PKR, parti-parti pembangkang lain serta UMNO juga tidak terkecuali.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berpendapat, walaupun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya meraih sokongan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong, beliau masih belum mendapat bilangan sokongan majoriti yang meyakinkan.
Malah ketika bercakap dengan Utusan Malaysia, Fahmi mempersoalkan bagaimana tindakan keluar parti itu berlaku sebaik sahaja Yang di-Pertuan Agong menitahkan Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat.
“Muhyiddin tiada keyakinan untuk mengadakan sidang Parlimen kerana belum mendapat bilangan sokongan ahli Parlimen yang mencukupi, malah isu lompat parti berlaku selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Parlimen boleh bersidang. Isu ini tidak akan berlaku kalau tidak boleh bersidang.
“Ini membuktikan ketidakstabilan kerajaan. Usaha meraih sokongan ini bukan sahaja daripada PKR dan parti pembangkang lain, tetapi Perikatan Nasional (PN) juga akan cuba menarik sokongan Ahli Parlimen UMNO yang mungkin dirasakan akan menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan,” katanya.
Walaupun enggan mendedahkan berapa ramai lagi yang akan keluar parti, Fahmi mengakui ahli Parlimen dari partinya terus-terusan mendapat tawaran untuk melompat parti.
“Mereka menerima tekanan dalam pelbagai bentuk seperti siasatan pihak berkuasa, tawaran jawatan mahupun ugutan, namun ada antaranya yang tetap dengan perjuangan parti,” katanya.
Fahmi berpendapat, tindakan lompat parti dalam kalangan ahli Parlimen perlu ditangani segera, malah beliau yakin rakyat akan menolak mereka yang berbuat demikian apabila tiba waktu mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
“Budaya lompat parti boleh ditangani jika peruntukan diberikan sama rata antara ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang. Malah soal akta anti lompat parti wajar dipertimbangkan tetapi mengikut Perlembagaan, mahkamah dan undang-undang negara.
“Tak boleh dinafikan tindakan lompat parti ini memberi kesan kepada semangat parti, tetapi kami sudah lalui detik lebih sukar, lebih 10 ahli Parlimen keluar sebelum ini tetapi segalanya terpulang kepada rakyat untuk menilai sama ada duduk diam atau menolak budaya lompat parti,” katanya.- UTUSAN










