Jiwa Pak Long pada gesekkan biola - Utusan Malaysia

Jiwa Pak Long pada gesekkan biola

ANTARA koleksi biola paling istimewa adalah biola hasil pemberian bapa mertuanya, Allahyarham Bakar Darus, pada 1962.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIOLA merupakan instrumen muzik yang dimainkan sejak zaman berzaman dan menjadi tumpuan dalam persembahan sesuatu majlis mahu pun acara tertentu.

Kebiasaannya, biola dimainkan dengan menggunakan penggesek (bow) bagi menghasilkan rentak lagu bersama irama melodi yang indah.

Ia turut menjadi antara instrumen utama dalam beberapa persembahan tradisional antaranya dondang sayang dan canggung.

Keunikan pada gesekan biola, menarik minat Hashim Din,75, atau lebih dikenali sebagai Pak Long untuk mempertahankan legasi permainan instrumen itu yang diwarisinya sejak enam dekad yang lalu.

DORONGAN ARWAH AYAH

Hashim mula menggesek biola pada 1962 selepas mendapat dorongan daripada ayahnya, Allahyarham Din Lebai Taib, yang turut meminati instrumen itu.

“Arwah ayah memang minat biola, malah minatnya itulah yang mendorong saya untuk belajar tentang cara permainannya.

“Ayah juga tak pernah menghalang saya untuk main biola, tapi dia selalu berpesan agar tidak terlalu berlebihan. Atas dorongan ayah jugalah, saya masih cuba mempertahankan legasi ini sehingga kini,” katanya sewaktu ditemui di kediamannya di Kampung Kubang Gajah, di sini baru-baru ini.

Warga emas ini mempunyai beberapa biola yang digunakan dalam persembahan.

Antara koleksinya paling istimewa adalah biola hasil pemberian bapa mentuanya, Allahyarham Bakar Darus, pada 1962.

“Saya minat biola sejak muda lagi dan turut menjadikannya sebagai pendapatan tambahan melalui persembahan kepada orang ramai,” katanya.

Hashim berkata, selain ayahnya, dia juga pernah ‘berguru’ bersama beberapa tenaga pengajar hebat antaranya seperti penggesek biola tersohor negara, Datuk Hamzah Dolmat.

Bapa kepada lima anak ini turut memaklumkan, pada kebiasaannya beliau memainkan beberapa genre lagu antaranya klasik dan moden mengikut kesesuaian program atau majlis.

“Selalunya saya akan bertanya dahulu lagu apa yang ingin dipersembahkan sebagai persediaan untuk sesuatu jemputan undangan majlis,” katanya.

Selain bergerak solo, Hashim masih aktif bermain biola bersama kumpulannya dikenali sebagai Sri Kayang bagi memenuhi sebarang jemputan persembahan di seluruh negara.

Katanya, ahli kumpulan itu juga terdiri daripada lima pemain yang mahir dalam beberapa instrumen muzik antaranya seperti gendang, serunai dan gong.

“Kami sering berkumpul pada setiap minggu untuk berlatih sebagai persediaan sekiranya mendapat jemputan untuk majlis atau program kerajaan.

“Bagi satu persembahan, saya kebiasannya mendapat upah bayaran bermula pada harga RM600 sehingga RM5,000 bergantung kepada majlis,” katanya.

MENGUASAI PERMAINAN

Hashim berkata, beliau pernah dikunjungi beberapa pihak sebelum ini yang berminat untuk mempelajari secara mendalam mengenai teknik dan cara gesekan biola.

Namun begitu, Hashim berkata, tidak ramai di antara mereka yang dapat mempelajari instrumen berkenaan secara serius.

Malah ada yang hanya bertahan selama tiga minggu sahaja.

“Menggesek biola dengan baik, memakan masa sekitar setahun setengah bagi membolehkan seseorang itu memainkannya secara betul,” katanya.

ANAK TIDAK MINAT

Mengulas mengenai pewaris kemahiran menggesek biola, Hashim berkata, anak-anaknya juga kurang berminat untuk mempelajari biola namun mereka sentiasa memberi sokongan penuh kepadanya untuk mempertahankan legasi itu.

Justeru selagi ada kudrat, Hashim akan meneruskan legasi bermain biola ini walaupun sudah menjengah usia senja, memandangkan ia mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×