‘Saya lihat anak berkedip mata sebelum pergi’ - Utusan Malaysia

‘Saya lihat anak berkedip mata sebelum pergi’

KEADAAN kereta yang terlibat nahas mengorbankan dua beradik di Kilometer 45, Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk, Bagan Datuk, hari ini. – Foto IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: “Saya sempat melihat anak perempuan saya berkedip mata memandang ke arah saya, manakala anak lelaki sudah tidak sedarkan diri sebelum kedua-duanya menghembuskan nafas terakhir’.

Demikian luahan ibu kepada dua beradik iaitu Muhammad Lutfil Faiq Abdullah, 15, dan adiknya, Nur Lidiya Faiqah, 13, yang maut di Kilometer 45 Jalan Hutan Melintang – Bagan Datuk, depan Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Datoh di sini semalam

Rabiatun Adawiyah Azman 33, berkata, tragedi itu berlaku pukul 7 pagi di hadapan SK Bagan Datoh dan kedua-dua mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dada.

Kata wanita itu, dia sempat melihat kedua-dua anaknya yang terbaring dalam keadaan parah sebelum mereka meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Katanya, ketika dia tiba di tempat kemalangan, anak perem­puannya masih bernafas manakala anak lelakinya sudah tidak sedarkan diri.

MENGHANTAR

“Sebelum itu, saya menghantar dua anak saya yang berusia 10 dan tujuh tahun ke SK Bagan Datoh dan sebaik sahaja tiba di depan sekolah, saya terkejut apabila mendapati berlaku kemalangan. Saya terkejut tapi tak sangka rupa-rupanya mereka adalah anak-anak saya.

“Saya tahu mangsa yang terlibat adalah anak saya sebaik sahaja ternampak beg sekolah mereka, saya kenal beg anak-anak saya. Mereka terlentang betul-betul di hadapan bangunan SK Bagan Datoh,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, dia kemudian meminta bantuan orang ramai supaya menghubungi ambulans.
Kata Rabiatun, sudah menjadi kebiasaan dua beradik itu bermotosikal ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muara di sini.

Katanya, Muhammad Lutfil merupakan anak sulung manakala Nur Lidiya Faiqah anak kedua daripada enam beradik.
Jelasnya, kedua-dua mereka tidak menunjukkan tanda-tanda akan pergi buat selama-lamanya, cuma yang agak pelik ialah pada pagi sebelum ke sekolah semalam, dua beradik itu memeluk dan mencium bapa mereka.

“Biasanya mereka hanya bersalam tangan sahaja, tetapi pagi tadi mereka memeluk dan mencium bapa dan datuk mereka sehinggakan saya pun rasa agak pelik.

“Saya tak sangka itu tanda mereka akan pergi buat selama-lamanya. Memang sukar untuk saya menerima hakikat kehilangan mereka berdua sekali gus, namun saya reda,” katanya.

Katanya, jenazah mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Penikam, Bagan Datuk selepas solat Asar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×