MUAR: Naning Resort, dekat sini diiktiraf sebagai salah sebuah pusat agropelancongan namun jalan menuju ke situ menyedihkan kerana tidak diturap.
Laluan masuk kira-kira satu kilometer ke resort berkenaan menimbulkan ketidakselesaan kepada para pengunjung.
Pengusahanya, Shukor Atan, 50, pernah memohon kepada pihak berkaitan supaya menaik taraf jalan ke kawasan resort sejauh kira-kira satu kilometer, namun tidak diendahkan.
Katanya, resort itu diiktiraf sebagai pusat agropelancongan kerana mempunyai tanaman durian musang king dan duri hitam di kawasan seluas kira-kira sembilan hektar selain cempedak, rambutan dan pelbagai buah-buahan lain serta projek membela rusa hampir 100 ekor.
“Istimewanya, di resort ini kami memberi peluang kepada orang ramai menjelajah ke dalam kebun durian dengan diiringi oleh pekerja untuk mengutip buah durian yang gugur pada waktu-waktu ditetapkan apabila tiba musim berbuah termasuk buah-buahan lain.
“Pengunjung juga berpeluang memberi makan rusa yang diternak sebagai salah satu acara riadah yang disediakan oleh pengurusan resort,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shukor berkata, tanaman durian yang diusahakan sejak lapan tahun lalu kini mula mengeluarkan hasil dan berbuah hampir sepanjang tahun bagi memberi pengalaman kepada pengunjung merasai suasana berada dalam kebun durian seperti di kampung.
Katanya, resort tersebut mempunyai 14 bilik termasuk ruang memasak serta berlibur selain sebuah kolam renang bagi membolehkan lebih ramai mampu menginap pada satu-satu masa.
“Saya sangat berharap kemudahan asas, khususnya jalan raya berturap dapat disediakan bagi menghubungkan dengan jalan utama agar memudahkan semua pihak berurusan,” katanya. – UTUSAN









