SPR cuma terima petisyen DUN Gombak Setia

SPR cuma terima petisyen DUN Gombak Setia

HILMAN IDHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam dilaporkan cuma menerima satu petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

Malah, sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor ketika dihubungi berkata, tiada petisyen bantahan bagi kawasan lain difailkan meskipun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini memberitahu akan mengemukakannya bagi empat DUN yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada 12 Ogos lalu.

“Tiada petisyen lain akan diterima selepas tempoh untuk mengemukakannya sudah pun tamat dan tiada kebenaran khas diberikan. Tempoh mengemukakan petisyen adalah 21 hari dari tarikh pilihan raya berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Petisyen yang dikata melibatkan empat DUN itu dirancang ekoran kemenangan yang diperoleh di kawasan berkenaan adalah rendah dan DUN tersebut adalah Sungai Kandis dengan majoriti 167 undi, Taman Medan (30), Gombak Setia (58) dan Dengkil sebanyak 407 undi majoriti.

Pada PRN lalu, di Gombak Setia, Hilman Idham (PN) memenangi DUN berkenaan dengan memperoleh undi sebanyak 30,299 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN) Datuk Megat Zulkarnain Omardin, 30,241 undi menerusi pertembungan tiga penjuru.

Sementara di Sungai Kandis, bekas Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni tewas kepada Ketua Bahagian Bersatu Kota Raja, Wan Dzahanurin Ahmad (PN) dengan undi yang diperolehi masing-masing sebanyak 28,759 dan 28,926 undi.

Di Taman Medan pula, Setiausaha PN Selangor, Dr. Afif Bahardin memperoleh 22,316 undi menewaskan wakil PH, Ahmad Akhir Pawan Chik yang ketinggalan tidak jauh dengan jumlah undi sebanyak 22,286.

Bagi DUN Dengkil, Noorazli Said daripada BN tewas kepada wakil PN, Datuk Seri Jamil Salleh dengan jumlah undi diperolehi masing-masing iaitu 33,154 dan 33,561 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN