SPRM tahan 3,627 individu terlibat rasuah sejak 2020

SPRM tahan 3,627 individu terlibat rasuah sejak 2020

Sebanyak 3,627 tangkapan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan pelbagai kesalahan dalam tempoh 2020 sehingga Ogos lalu. - UTUSAN/SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 3,627 tangkapan telah dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan pelbagai kesalahan dalam tempoh 2020 sehingga Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, kesalahan tertinggi direkodkan adalah menerima rasuah iaitu dengan 1,614 tangkapan diikuti tuntutan palsu (933 tangkapan).

Selain itu, bagi kesalahan memberi rasuah sebanyak 435 tangkapan dilakukan diikuti salah guna kuasa (301 tangkapan); lain-lain kesalahan (274 tangkapan) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dengan 70 kes.

Berdasarkan statistik yang diperoleh Utusan Malaysia, tangkapan tertinggi dilakukan adalah pada 2020 dengan 998 individu diberkas SPRM diikuti 2022 (909 tangkapan); Januari sehingga Ogos 2023 (869 tangkapan) dan 2021 (851 tangkapan).

Sepanjang tempoh sama juga, sebanyak 1,721 pertuduhan telah dilakukan membabit pelbagai kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Menerima rasuah merekodkan pertuduhan tertinggi dengan 414 kes berjaya dituduh diikuti lain-lain kesalahan (721 pertuduhan) selain tuntutan palsu (216 pertuduhan); memberi rasuah (195 pertuduhan) dan salah guna kuasa (121 pertuduhan).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bagi Januari sehingga 31 Ogos lalu, seramai 314 tangkapan membabitkan penjawat awam diikuti 555 individu merupakan orang awam.

Kata beliau, bagi tempoh itu, jumlah peratusan tertinggi tangkapan yang dicatatkan adalah sebanyak 51.39 peratus pada bulan Jun lalu bagi penjawat awam manakala sektor awam pula mencatatkan peratusan tertinggi Julai lalu dengan 57.72 peratus.

Katanya, penjawat awam membabitkan kumpulan Pengurusan dan Profesional merekodkan sebanyak 92 tangkapan manakala sektor awam membabitkan kumpulan swasta mencatatkan jumlah sebanyak 406 tangkapan.

“Daripada jumlah itu, seramai 326 orang telah dituduh membabitkan beberapa kesalahan seperti terima rasuah, memberi rasuah, tuntutan palsu dan salah guna kuasa.

“Tuntutan palsu adalah paling tinggi iaitu 79 kes diikuti kes salah guna kuasa sebanyak 27 kes manakala terima rasuah (74 kes) dan memberi rasuah ( 31 kes),” katanya ketika ditemui baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×